Palanivel berkata melalui projek ini Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan konservasi haiwan itu termasuk proses pembiakannya.
"Kepakaran tempatan juga dapat dibangunkan dan dilatih dalam aktiviti konservasi ini."
"Pengalaman serta kepakaran ini boleh digunakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha konservasi spesies-spesies tempatan lain seperti harimau, seladang, tapir, Orang Utan dan beruang matahari," katanya kepada Bernama dalam soal jawab melalui e-mail di sini hari ini.
Kenyataan itu sebagai membidas dakwaan pembangkang kononnya program itu yang dianggar menelan kos RM25 juta, satu pembaziran dan tidak berbaloi.
Palanivel berkata projek itu juga akan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam menghargai keunikan dan kepentingan konservasi hidupan liar serta biodiversiti.
Pada 15 Jun 2012, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meminjam dua Panda Gergasi dari republik itu selama 10 tahun sebagai simbolik hubungan diplomatik Malaysia-China ke-40 yang bakal diraikan tahun ini.
Malahan, ia juga bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2014 selain merangsang pertumbuhan industri pelancongan negara.
Panda Gergasi dikenali dengan nama Feng Yi (Phoenix) dan Fu Wa (Lucky), itu, yang dilahirkan pada 23 Ogos 2003, adalah antara lapan panda yang mendapat perhatian ramai dan turut menyerikan Olimpik Beijing 2008.
Bagaimanapun Palanivel berkata penghantaran panda yang pada mulanya dijadual pada 16 April, terpaksa ditunda ekoran tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370pada 8 Mac lalu.
"Sehingga kini belum ada tarikh spesifik ditentukan oleh kedua-dua negara. Namun begitu kita bersedia pada bila-bila masa untuk menerima pasangan Panda Gergasi tersebut," katanya.
Dalam pada itu Palanivel menjelaskan bahawa Malaysia telah melakukan persiapan rapi bagi menyambut kehadiran pasangan panda itu seperti menyediakan Pusat Konservasi dan Pameran Panda Gergasi serta sebuah tempat pertunjukan khas.
"Tempat pertunjukan panda itu dibina mengikut kesesuaian habitat haiwan berkenaan. Pemeriksaan teknikal telah dijalankan oleh pasukan pakar CWCA ke atas tempat Panda Gergasi di Zoo Negara dari 3 hingga 6 Jan lalu," katanya.
Sementara itu, menjawab soal kemungkinan penghantaran itu dibatalkan, Palanivel berkata beliau menaruh keyakinan yang tinggi projek itu akan diteruskan dan tiada sebarang ruang untuk pembatalan setakat ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment