Di sisi katil saya lihat ahli
keluarga Jalal sedang menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu
apa yang perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa
semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta sambil
tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
"Terima kasih ustaz sebab sudi
datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya
macam ni," kata salah seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.
Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya segera datang
untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya.
"Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."
Sedang kami berbual, tiba-tiba
sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali ini jeritannya cukup jelas di
pendengaran saya. Jeritannya menakutkan dan menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak.
Panaaaassss. Saya sakit mak, sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa
saya."
Berserta raungan yang
dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti dipanggang di dalam api
yang marak. Mukanya berkerut sementara matanya terbelalak akibat azab yang amat
pedih. Semua yang ada di wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu
menyebabkan saya tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian
rupa? Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
"Panggil ibunya segera," kata
saya.
Namun kata-kata saya itu tidak
dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan
sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya
saya.
Dengan perlahan abang Jalal
bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu
lepas."
"Kalau macam ini susahlah
sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan kesalahan besar kepada ibunya,
sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma
ibunya saja yang dapat membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri
sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui puncanya
kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain
untuk meredakan kesakitan Jalal.
"Ceritakanlah kepada saya apa
yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya
ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada
mereka.
Dengan tenang, tapi air mata
bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang
cukup menyayat hati saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka
enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka, Jalallah yang
mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia
bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan menyanggah
kata-kata ibunya.
Nasihat dan teguran ibunya
pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah telapak kaki
ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa sahaja kekurangan wang,
seolah-olah tidak dirahmati rezekinya. Berterusanlah keadaan itu hingga dia
berumahtangga. Keadaan menjadi semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya
di sebuah syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih
banyak disyarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi
semakin parah.
Walau di syarikat manapun yang
Jalal bekerja, dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia
meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada
sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun dia
masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya
mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya
supaya mencagarkan tanah mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu
ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum
itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank
dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya
kasar.
"Jalal, engkau ni dah
melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.
"Ahhh, saya tak kira." "Jalal,
emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga,
tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah
semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada
bank. Jalal pulang dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk
mendapatkan tanah berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal
datang ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi
pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat
menyedihkan.
Ketika kemarahannya sampai
kemuncak, Jalal menolak ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya
terhantuk di pintu. Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok
di lantai, rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara
Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan otak
yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan keampunan kepada
Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira seminggu selepas kematian
ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa
yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang
dihadapinya.
Jalal sebaliknya meraung,
menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia meminta
ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih.
Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu
itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di
katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya
cuba cara lain," kata saya.
Di samping ayat-ayat suci
al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja
ayat suci itu, Jalal menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar
kesakitan.
"Aduh panasnya! Emak,
ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak, panas. Jangan bawa saya ke
situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya
bersalah."
Jeritan Jalal itu meruntun
hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu
dibawa 'ke situ' dan apa yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas,
tubuh Jalal terpaksa dibogelkan.Tangan dan kakinya terus diikat ke katil.
Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri
untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih
hidup selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak..."
Ketika itu lebih kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun
sedang saya memandu, telefon bimbit saya berdering. "Ustaz! Cepat ustaz, adik
saya dah nazak," kata si abang. Saya berpatah balik dan apabila sampai di
katilnya, saya lihat Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan.
Keluarganya semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya
bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna.
Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap seketika.
Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terbayang
kelegaan di wajah mereka.
Tiba-tiba, ketenangan itu
dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil tubuhnya kejang
menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik
yang serentak juga najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau
najis menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu
yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ
dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara
serentak.
Di bahagian atas, semuanya
seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di
bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut. Cukup aib dan
menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata, peluh serta najisnya.
Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas lagi. Degupan jantungnya berhenti
dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah
riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan
gementar sementara keluarga Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri.
Yang perempuan terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka.
Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di
dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut
nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya menguruskan
jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman
menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya
meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti
hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas
sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih.
Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya
untuk menutup biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya
mata putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham
dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali
lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana
duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya
bersabar dan reda dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh
Allahyarham, jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah
tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di
pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van
yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-tiba
keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak.
Van yang cuma membawa lima
orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya,
pemandu serta seorang pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van
bergegas memanggil kami. Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak
dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa
diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul
- tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah tersebut.
Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit
lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke
rumahnya.
Apa yang membingungkan kami
ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak pula
patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula memandu pulang ke
rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya.
Namun diceritakan juga kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya
tidak mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain
terpaksa diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya
menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham.
"Ustaz, saya nak minta
pertolongan dan pandangan daripada ustaz."
"Apa masalahnya itu?" tanya
saya.
"Kubur adik saya berlubang
ustaz."
Masya-Allah, demikian sekali
keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut
abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham
dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah
mencecah kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi,
mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut
berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan
sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang
lagi," kata saya.
Namun keesokan harinya sekali
lagi abang Allahyarham menghubungi saya memberitahu bahawa kubur berkenaan
berlubang semula. Apa yang membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya
langsung tidak berubah, masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu
dikebumikan. Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga
hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada
hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
"Begini sajalah," kata
saya.
"Mulai malam ini buatlah
majlis Yassin dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin
sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya
diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam bahasa Melayu dan ulang
doa itu sebanyak tujuh kali."
Seperti yang saya nasihatkan,
pada malam berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam
yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh,
kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat tahun
lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya.
Setiap kali tibanya hari raya
aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana
ia terjadi cuma beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati
saya, ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga
tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab
hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan
untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya kita dapat
mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar. Doakanlah semoga dosa Allahyarham
Jalal diampunkan Allah. Amin.
View the original article here
No comments:
Post a Comment