Misteri! Kubur Kanak-Kanak Ini Digali Seseorang Di Terengganu | Seperti kebiasaan, kubur yang tiba-tiba berlubang dikaitkan dengan isu mendapan tanah akibat hujan lebat. Namun begitu, sebuah kubur yang dikatakan merupakan seorang kanak-kanak ini didakwa telah digali oleh seseorang di Terengganu. Bagaimanapun pihak polis masih lagi menjalankan siasatan berkenaan dengan kes ini. Si bapa pula menyatakan, berkemungkinan ia dilakukan oleh pengamal amalan kurafat.
KUALA TERENGGANU – Pihak polis percaya tiada unsur khianat berhubung kewujudan lubang di kubur seorang kanak-kanak yang meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner K. Manoharan berkata bagaimanapun siasatan lanjut berhubung insiden itu tetap dijalankan.
“Setakat ini kita tidak melihat ada unsur khianat dalam kes ini berikutan keranda masih berada dalam keadaan baik namun hanya sebahagian tanah yang hilang.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan berlaku mendapan tanah atau sebaliknya namun kita akan terus menyiasat kejadian ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Semalam seorang bapa, Kamaruddin Muhammad, 44, membuat laporan polis selepas mendapati kubur anak perempuannya di Tanah Perkuburan Kampung Binjai Berambu, Padang Midin di sini, berlubang dipercayai akibat digali oleh pihak tertentu.
Kejadian itu disedari anggota jawatankuasa keselamatan dan kemajuan Kampung (JKKK) yang mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu kira-kira pukul 9 pagi semalam.
Terdapat lubang sedalam kira-kira satu meter di kubur anaknya itu yang meninggal dunia ketika berusia sembilan bulan dan si bapa percaya perbuatan dilakukan oleh pihak tertentu yang mempercayai amalan khurafat.
Arwah anaknya Siti Nur Anisah merupakan anak bongsu daripada enam beradik, meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan jangkitan paru-paru.
No comments:
Post a Comment