Pages

Tuesday, 22 April 2014

KENAPA AIR MANI BERCAMPUR DARAH?

Soalan
TERDAPAT darah dalam air mani saya. Saya bimbang ia akan menjejaskan kesihatan dan kesuburan saya. Apakah punca sebenar masalah saya ini?

AMAT
Johor


Jawapan
HAEMATOSPERMIA atau campuran darah dalam air mani jarang sekali berlaku. Jika berlaku pun hanya pada sebilangan kecil lelaki yang mungkin sama ada disedari atau tidak.

Haematospermia boleh berlaku pada bila-bila masa. Ia juga boleh berlaku secara mikroskopik di mana hanya sel darah merah saja kelihatan apabila air mani dilihat menerusi mikroskop.

Kadang-kadang lelaki yang mengalami haematospermia akan berasa sakit setiap kali mencapai ejakulasi. Air maninya pula berwarna merah jernih dan seolah-olah berlaku geselan air mani dalam salur kencing sama ada di bahagian hujung atau pangkal zakar.

Jika terasa perit pada penghujung zakar, kemungkinan salur kencing pada bahagian itu melecet. Jadi, akan terdapat campuran darah dalam air mani.

Bagaimanapun, jika rasa sakit pada bahagian pangkal zakar, kemungkinan ada kaitan dengan penyakit batu karang.

Walaupun air mani mengandungi darah, tetapi kandungan sperma masih aktif dan lelaki itu masih mampu menghamilkan pasangannya. Kebiasaannya, apabila ia berlaku, kedua-dua pasangan akan terasa cemas dan dalam keadaan sedemikian mereka akan berfikir perkara negatif seperti kemungkinan menghidap kanser dan jangkitan sehingga mereka takut untuk meneruskan hubungan seksual.

Haematospermia bukanlah petanda lelaki itu mandul atau membawa kuman atau jangkitan yang boleh mejangkiti isteri. Jika sperma normal bercantum dengan telur wanita, janin tidak akan terencat walaupun lelaki itu menghasilkan sperma bercampur darah. Ia juga bukan petanda kanser dan lazimnya haematospermia akan reda serta kembali normal.

Saya pernah mengendalikan kes lelaki yang mengalami masalah berkenaan. Semua mereka memang amat cemas dan lebih-lebih lagi isteri masing-masing. Selepas diberi rawatan, semua mereka sembuh seperti sedia kala.

Bagi lelaki yang mengalami haematospermia, jangan cepat panik dan segera rujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan. Jika terdapat batu karang doktor akan memberi ubat untuk melegakan salur kencing dan salur prostat supaya batu karang dapat dikeluarkan.

Kebiasaannya tidak perlu menjalani pembedahan pembuangan batu karang dalam salur prostat kerana batu karang itu sangat kecil dan mudah hancur.

No comments:

Post a Comment