Ahmad Hakimi Hanapi, 29, seorang pembantu juruterbang merupakan antara
15 kakitangan MAS yang menaiki pesawat itu sebelum terhempas di Ukraine
semalam semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Datuknya, Daud Kadir, 80, berkata, cucu kesayangannya itu ada
menghubunginya tiga hari lalu memaklumkan dia sudah tidak sabar untuk
pulang beraya di kampung.
Katanya, dalam perbualan itu, Ahmad Hakimi memberitahu dia akan bertolak
pulang ke kampung pada 25 Julai depan dan menyuruh datuk dan neneknya
menanti kepulangannya itu.
Tambah Daud, Ahmad Hakimi merupakan seorang cucu yang sangat baik dan bertanggungjawab malah dia sering pulang melawat datuk dan neneknya di kampung.
Katanya, arwah juga boleh diibaratkan seperti ‘payung keluarga’ di mana banyak membantu mereka selama ini. Daud memberitahu, Ahmad Hakimi tidak pernah lupa mengirimkan duit kepada mereka sebelum ini malah dia juga banyak membantu adik-beradiknya yang lain.
“Dia merupakan cucu yang sangat baik. Atas sifat murninya itu Allah telah menjemputnya dahulu dalam usia yang masih muda," katanya.
Kata Daud, walaupun sedih dengan pemergian cucu kesayangannya itu namun dia tetap reda dengan ketentuan Ilahi. Kali terakhir dia menatap wajah cucunya itu adalah sebelum Ramadan lalu di mana ketika itu Ahmad Hakimi pulang ke kampung bersama isteri dan anaknya.
No comments:
Post a Comment