Pages

Wednesday, 16 July 2014

Ini punca kekalahan Brazil

SEPERTI yang saya ramalkan Brazil akan kalah kepada Jerman di separuh akhir. Bagaimanapun kekalahan yang besar 1-7 memang di luar jangkaan. Selepas menonton perlawanan tersebut, empat faktor dikenal pasti.

1. Perubahan mendadak corak permainan Brazil daripada strategi 'long passing' kepada 'short passing', atau kembali kepada corak tradisional Brazil (Samba) telah memakan diri. Scholari telah merubah corak tersebut disebabkan ketiadaan Neymar. Neymar adalah seorang penyerang mempunyai larian yang pantas, maka dia lebih sesuai dengan umpanan jarak jauh. Apabila Neymar tidak dapat diturunkan, corak permainan Brazil kembali kepada Samba, iaitu hantaran pendek, gelecek dan kreativiti pemain. Pasukan Brazil kali ini tidak begitu mempunyai ciri-ciri seperti ini.

2. Disebabkan perubahan corak tersebut, pemain-pemain pertahanan telah dijadikan enjin utama untuk menjana gol. Sepuluh minit pertama, jentera utama ini dikerah habis-habisan sehingga David Luis kerap berada dalam kotak penalti lawan. Dalam tempoh ini Brazil memang menguasai permainan, tetapi pemain pertahanan menjadi letih dan hilang tumpuan kepada tugas asasi mereka untuk bertahan. Kesemua gol separuh masa pertama disebabkan keletihan dan hilang tumpuan sehingga membenarkan penyerang-penyerang Jerman begitu bebas berada di kawasan bahaya.

3. Pasukan Brazil kali ini tidak begitu kuat di bahagian tengah (midfield). Walaupun mempunyai pemain seperti Oscar. Corak permainan Samba memerlukan pemain yang kreatif di bahagian ini, seperti Kaka sebelum ini. Apabila Brazil kembali kepada corak Samba, pemain tengah tidak mampu mengikut rentak ini. Mereka tidak mampu mencipta peluang untuk pemain penyerang, malah gagal menandingi pemain tengah Jerman. Sepatutnya Scholari membawa Kaka dalam barisan utama pemain Brazil kali ini, termasuk Ronaldinho yang sedikit sebanyak dapat membantu jentera tengah walaupun dia pemain penyerang. Kedua pemain ini dapat disandarkan harapan apabila Neymar dan Silva tidak dapat diturunkan.

4. Faktor ini merupakan faktor kelemahan Brazil turun temurun, iaitu penjaga yang tidak begitu cekap. Sememangnya Brazil menghasilkan ramai pemain-pemain hebat tetapi ramainya di bahagian penyerang dan tengah. Lazimnya penjaga gol Brazil tidak begitu hebat, sehebat nama pemain penyerang dan tengah mereka. Walaupun Julio Cesar dilihat sebagai hero sewaktu menentang Chile tempohari, dalam permainan kali ini dia gagal membuat bacaan tepat. Gol pertama, sepatutnya dia boleh membaca arah sepakan sudut dan keluar untuk menumbuk bola. Gol ketiga dan ketujuh, sepatutnya dia berupaya menepis bola itu kalau berada di sudut yang betul.

sumber

No comments:

Post a Comment