Pages

Tuesday 16 September 2014

GST juga akan dikenakan keatas petrol dan diesel




Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada petrol dan diesel, kata Rafizi Ramli. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 September, 2014.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kastam dan Eksais Ishak Daud mengesahkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada petrol dan diesel walaupun kerajaan masih belum membuat pengumuman demikian, kata Rafizi Ramli.
Naib presiden PKR itu berkata, Ishak mendedahkan perkara berkenaan dalam satu taklimat GST anjuran Universiti Tuanku Abdul Rahman minggu lalu yang juga dilaporkan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily.
“Laporan akhbar Sin Chew Daily turut dipetik oleh laman kereta paultan.org, mengesahkan Umno Barisan Nasional (BN) akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel.

“Ini mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno – BN akan mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015 kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan sebelum ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan tidak mengenakan GST ke atas petrol dan diesel apabila sistem percukaian baru itu dilaksanakan pada April 2015.
Katanya, kerajaan bakal kehilangan hasil jika GST tidak dikenakan ke atas petrol dan diesel, tetapi ia dapat ditampung melalui pelan rasionalisasi subsidi.
Rafizi berkata dengan GST pada kadar 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen dan jika seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat GST akan meningkat RM50 sebulan.
Katanya, petrol dan diesel yang dikenakan GST akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang dan perkhidmatan apabila cukai kepenggunaan itu dilaksanakan kelak.

“Akhirnya, bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah. Saya anggarkan sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan dengan kenaikan terus harga minyak, harga barang dan perkhidmatan bagi setiap isi rumah di kawasan bandar dan separa bandar.
“Pada ketika pegawai Jabatan Kastam dan Eksais mula mengesahkan kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga dimaklumkan kerajaan akan melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan mengehadkan kepada golongan tertentu dan sebahagian pengguna terpaksa membayar harga penuh tanpa subsidi.

"Saya dimaklumkan keputusan itu sudah dibuat tetapi belum dilaksanakan sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini," katanya.
Katanya, jika dasar begitu dilaksanakan, bebanan kenaikan harga minyak akan menjadi lebih tinggi, begitu juga dengan harga barang dan perkhidmatan.

“Saya menggesa supaya Najib mengesahkan segera harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang dengan rakyat.

“Pada masa yang sama, saya seru rakyat Malaysia menzahirkan bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar,” katanya. – 15 September, 2014.

1 comment: