Tidak
dinafikan, ramai orang sukakan gaya mengikut fesyen terkini dan digilai
ramai, lebih-lebih lagi golongan remaja. Mereka sering menukar
penampilan mengikut peredaran zaman. Remaja lelaki khususnya gemar
memakai seluar ‘skinny’ dan mengikut fesyen yang digemari wanita itu.
Apa
yang paling menarik ialah seluar ‘skinny’ itu terbukti menjadi kegilaan
ramai selain meraih populariti dalam kalangan remaja Malaysia.
Pemakaian seluar jenis ini sebenarnya bertujuan untuk kelihatan lebih
bergaya, namun terdapat remaja memakainya untuk kelihatan lebih kurus
daripada saiz badan sebenar. Kebiasaannya seluar dipakai itu ketat
kononnya untuk kaki tampak kecil dan elok dipandang.
Ramai remaja
menghadapi pelbagai kesukaran apabila menyarungkan seluar yang
terlampau ketat itu. Ada yang sampai melompat-lompat kerana saiz
pinggang terlalu kecil. Walaupun begitu, ada saja yang taksub sehingga
tidak memikirkan kesan buruk.
Hakikatnya, pakaian diciptakan
bukan untuk memberikan bentuk atau saiz badan yang kita tidak miliki dan
di situlah remaja menghadapi masalah. Banyak masalah kesihatan timbul
akibat daripada pemakaian seluar yang terlalu ketat itu.
Masalah kesihatan
Berdasarkan
kajian daripada pakar bedah vaskular Dr Nicholas Morissey, pemakaian
seluar ‘skinny’ yang ketat boleh menjadikan kaki anda rasa kebas pada
paha atau lebih dikenali sebagai ‘meralgia paresthetica’.
Menurut Morissey, terdapat saraf deria datang daripada pelvis yang bertindak memberikan sensasi ke bahagian paha anda.
Remaja
yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat bagaimanapun merasa kebas
akibat daripada pengecilan saraf pada paha itu. Ketika duduk, paha akan
mengalami tekanan tinggi dan apabila berdiri, anda tidak akan dapat
rasakan pergerakan kaki. Menurut Morissey, keadaan ini tidak berbahaya
namun apabila ia kerap berulang, maka ia boleh menyebabkan keadaan kaki
kejang itu berkekalan.
Pakar neurologi, Dr John Michael Li pula
berkata, remaja yang menderita sindrom seluar ketat biasanya akan rasa
tidak selesa pada abdominal, pedih ulu hati dan masalah sendawa apabila
memakai seluar ketat itu.
Kebiasaannya seluar yang dipakai bersaiz tiga inci yang terlalu kecil untuk saiz pinggang seseorang remaja.
Penasihat
perubatan, Dr Orly Avitzur pula memberitahu bahawa makanan tidak akan
hadam apabila terdapat tekanan pada bahagian abdomen. Pemakaian seluar
ketat ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti makanan
tidak boleh dihadamkan dengan betul dalam kalangan remaja yang
menghadapi masalah pedih ulu hati. Seluar yang terlalu ketat memburukkan
lagi keadaan itu.
Lelaki terutamanya perlu berhati-hati dan
mengambil berat dalam aspek pemakaian. Jika mereka tetap memilih seluar
ketat sebagai pelengkap fesyen, risikonya amat tinggi. Misalnya, remaja
lelaki akan hadapi masalah kilasan testis di mana satu testis akan
berpintal dengan sendirinya. Jika tidak dirawat, pintalan itu akan
memotong peredaran darah dan seterusnya testis akan mati.
Selain
itu, remaja lelaki juga akan mengalami lemah kawalan kencing dan
jangkitan saluran kencing. Lebih buruk lagi apabila bilangan sperma
menurun dan kulat akan mudah merebak pada bahagian kelamin akibat
daripada pemakaian seluar yang ketat ini.
Apa kata mereka
Yasmin
Moktar, 21, pelajar kolej swasta berkata, pemakaian seluar ‘skinny’ ini
tampak moden dan bergaya selain kelihatan menarik.
“Apa yang
saya dapat lihat ialah kebanyakan remaja sekarang menjadikan seluar
ketat sebagai pilihan utama dalam pemakaian. Namun seluar yang dianggap
fesyen terkini itu ada yang terlalu ketat sehinggakan boleh membawa
kepada pelbagai masalah kesihatan.
“Nak sarungkan seluar itu saja
begitu sukar sehinggakan ada yang perlu menarik seluar ke bahagian
pusat berkali-kali kerana terlampau ketat dan lebih kecil daripada saiz
pinggang sebenar. Bagi perempuan, mereka lebih suka menggayakan seluar
ketat bersama kasut tumit tinggi.
“Tidakkah keterlaluan dalam
aspek berpakaian sehingga sanggup menyakiti diri sendiri. Inikan pula
seluar begitu ketat yang boleh menyakiti bahagian sendi dan otot di
bahagian peha. Kalau nak diikutkan memanglah sendi rasa sakit dan kebas
sebab seluar itu terlalu ketat dan menghalang udara masuk selain
memberikan tekanan yang tinggi pada bahagian peha.” katanya.
Menurutnya, fesyen seluar ketat itu tidak terhad kepada remaja perempuan saja, tapi juga pada golongan lelaki.
Katanya,
lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat ini agak keterlaluan dan
boleh menunjukkan ciri feminin yang tidak bagus untuk imej mereka.
Bagi
Ridzuan Azmi, 21, pelajar universiti swasta berpendapat, fesyen seluar
‘skinny’ dalam kalangan lelaki ini tidaklah memudaratkan jika saiz yang
dipilih itu bertepatan dengan bentuk pinggang.
“Ada juga situasi
di mana saya melihat remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat
untuk kelihatan kurus, walhal saiz badan tidak bersesuaian dengan fesyen
itu. Bukan saja pelik tapi saya juga percaya pemakainya pasti mengalami
kesakitan yang luar biasa terutama pada bahagian paha.
“Lihat
saja remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat kadangkala tidak
menunjukkan gaya lelaki yang maskulin. Sudahlah ketat dan susah untuk
sarung, pemakainya pun pasti mengalami masalah sendi dengan kerap.
“Saya
pernah dengar ada remaja lelaki yang mengalami masalah di bahagian
kelamin akibat daripada pemakaian seluar ketat ini. Mana tidaknya,
seluar yang terlampau ketat boleh hadkan saluran udara dan menyakitkan
alat sulit mereka,” katanya.
Menurutnya, remaja lelaki perlu
memilih seluar ‘skinny’ yang lebih longgar dan tidak terlalu ketat
sehingga boleh membahayakan diri sendiri.
Cara mengatasi
Yang
paling penting, remaja perlu menitikberatkan kesihatan terlebih dulu
sebelum memilih pakaian yang digemari. Tanpa motivasi dan pengetahuan
umum berkenaan masalah kesihatan yang mungkin berlaku, ramai remaja
membeli pakaian secara membuta tuli.
Bagi mereka yang gemarkan
seluar ‘skinny’ memanglah tidak salah memakainya, namun perlu juga buat
pemilihan yang betul. Bagi mereka yang mempunyai saiz badan besar adalah
dinasihatkan memakai seluar bersesuaian dengan saiz mereka. Kalau tidak
ada saja masalah kesihatan timbul sekiranya dibiarkan secara
berterusan.
Remaja lelaki khususnya perlu mengenakan seluar
‘skinny’ yang longgar dan tidak ketat untuk melancarkan saluran udara
dalam seluar bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sakit pada bahagian
alat sulit.
No comments:
Post a Comment