Ketika nak update
blog pagi tadi, nasihangit tertarik dengan entri yang dikeluarkan oleh
Kumbang Jingga berkenaan 10 penjenayah terkemuka Malaysia. Pelbagai
jalan cerita yang berlaku dalam setiap suspek ini. Korang dah bersedia?
Jom kita kenal mereka ini dan mengambil ikhtibar. ;3
1. Botak Chin
Wong Swee Chin
adalah nama sebenarnya. Botak Chin tidaklah berkepala botak sebaliknya
nama itu adalah gabungan perkataan BO TAK CHIN dalam bahasa hokkien
membawa maksud Tiada (BO) Kerja (TAK) CHINA (Chin) atau 'jobless
chinese'. Pada tahun 1967, Botak Chin mula terbabit dalam kumpulan Geng
360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah seperti merompak dengan
menggunakan senjata api yang dirampas oleh kumpulannya atau dibeli di
Thailand dengan menggunakan wang hasil dari rompakkannya. Pada September
1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada
bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.
November 1974 selepas dibebaskan dari penjara dia memulakan kehidupan
baru sebagai sebagai penjual sayur tidak ianya langsung tidak memuaskan
hatinya.
Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang
dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh
Bok Lay (Seh Chai). Kegiatan rompakan oleh mereka semakin aktif seperti
di pusat perjudian haram di Sentul, sebuah bank di Jalan Imbi Kuala
Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer Kuala Lumpur, sebuah bar di
Sentul, di Kelab Kereta api Sentul dan juga di Kelab Lumba Kuda sekitar
Kuala Lumpur. Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan
senjata api dan peluru di Thailand. Kedudukannya sebagai ketua mula
terancam oleh anggotanya sendiri, Ah Wong, dan Ketua Geng Lima Jari
Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka ditemui mati ditembak di kawasan
lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh
diri selepas dikepung polis di Jalan Alor. Awal 1976 Botak Chin
mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan
kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak
selain ada yang ditangkap. Polis juga berjaya merampas senjata api,
peluru dan bom.
Pada 22 November 1975, kejadian berlaku di malam hari. Sebuah kereta
Datsun hijau yang dinaiki oleh Botak Chin dan ahli gengnya yang lain
mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki oleh pegawai kanan polis,
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi
Superintendan (DSP) S Kulasingam. Pegawai berkenaan adalah sasaran
mereka. Setiba di lampu isyarat Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta
Datsun berkenaan bergerak pantas menghampiri kenderaan yang mereka
ekori. 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ DSP S Kulasingam.
Dentuman demi dentuman dilepaskan hingga mengejutkan orang ramai di
sekitar kawasan berkenaan. Matlamat kumpulan lelaki itu hanya satu iaitu
membunuh seorang pegawai kanan polis di tempat terbuka. Bagaimanapun,
tindakan ‘gila’ penjenayah itu gagal berikutan hanya satu das tembakan
mengenai Kulasingam. Sebaliknya pegawai polis itu masih berupaya memandu
ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi itu. Keesokannya,
terpampang pada dada akhbar bahawa cubaan membunuh itu gagal. Serangan
mengejut terhadap Kulasingam menyebabkan pihak polis bertekad untuk
menahan dan membasmi jenayah pemuda itu. Satu pasukan khas ditubuhkan
polis. Beberapa pegawai polis yang pakar memburu penjenayah daripada
beberapa ibu pejabat polis daerah dipanggil menganggotai pasukan itu dan
tugas mereka adalah menjejak pergerakan geng Botak Chin.
16 Februari 1976, episod akhir pemburuan polis membawa mereka ke sebuah
kilang papan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Polis mula mengepung kilang
berkenaan dan menunggu kemunculan Botak Chin. Sebuah kereta Mazda putih
masuk ke kawasan kilang. Sebaik berhenti, tiga lelaki keluar daripada
kereta itu dan seorang daripada mereka ialah suspek buruan, Botak Chin.
Penjenayah ganas itu lengkap bersenjata selain memiliki dua bom tangan.
Langkah dan perlakuan seperti biasa meyakinkan pihak polis bahawa
kumpulan penjenayah terbabit tidak menyedari kehadiran mereka. Dengan
pantas pihak polis bertindak, empat pasukan menggempur masuk ke kawasan
kilang dan berlakulah pertempuran antara penjenayah dan polis, masing
masing melepaskan tembakan. Botak Chin ditembak pada kaki dan tangan
kanan. Manakala pengikut pengikutnya yang lain telah mati ditembak.
Babak keganasan penjenayah itu berakhir apabila Botak Chin yang berada
dalam keadaan tersepit menyerah diri dalam operasi penuh bahaya itu.
Botak Chin ditahan selama setahun sebelum mengaku bersalah apabila
dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan mengikut Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori. Ketika menunggu
dihukum gantung, Botak Chin terus menunjukkan sikap ganasnya apabila
menyerang dan mencederakan pegawai penjara termasuk menggunakan senjata
tajam sebanyak dua kali. Botak Chin dihukum gantung sampai mati pada 11
Jun 1981 di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.
2. Bentong Kali
Penjenayah yang amat dikehendaki sekitar awal tahun 1990 an. P.
Kalimuthu atau digelar Bentong Kali (tempat asalnya) terkenal dengan
sikap barannya yang suka membunuh orang ramai secara sesuka hati.
Puluhan orang awam tidak bersalah menjadi mangsa tanpa sebarang sebab
disamping turut terlibat dengan aktiviti dadah dan rompakan.
Keganasannya amat melampau hingga beliau masih membunuh orang awam walau
ketika polis telah melancarkan operasi seluruh negara untuk
menangkapnya yang dikenali sebagai 'Ops Buncit'. Rekodnya adalah 16 kes
pembunuhan sehingga polis menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa
yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah kejam itu.
Penjenayah mula terjebak dalam kegiatan jenayah seawal usia 14 tahun
iaitu selepas dia meninggalkan alam persekolahan pada tingkatan satu.
P. Kalimuthu menyertai Kumpulan kongsi gelap Cina 04. Pernah dipenjara
ketika usia 19 tahun tetapi dibebaskan tidak lama selepas itu. Namun
ianya tidak menginsafkan Kalimuthu sebaliknya kira-kira empat tahun
selepas dibebaskan, dia kembali bergelumang dengan dunia jenayah dengan
menyertai kumpulan kongsi gelap India 08. Bersama kumpulan haram dan
rakan penjenayah baru, Kalimuthu aktif mencabar undang undang sekitar
ibu kota iaitu di Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang. Ditahan
semula pada Julai 1985 mengikut Ordinan Darurat serta pernah di
tempatkan di Pulau Jerjak, Pulau Pinang tetapi dibebaskan pada tahun
1987. Peluang kedua yang diberikan langsung tidak dihiraukannya. Kali
ini dia menubuhkan kumpulan kongsi gelap 04 yang tertumpu di Jalan Klang
Lama, Kuala Lumpur. Kegiatan yang mereka lakukan adalah seperti
mengedar dadah. dan untuk kesalahan itu, Kalimuthu ditahan lagi pada
April 1990 dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya.
Bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman apabila bukti tidak cukup
untuk mensabitkan kesalahannya. Pada 1991, Kalimuthu dikatakan mula
mengganas kembali dengan melakukan pembunuhan demi pembunuhan sehingga
menyebabkan polis mula melancarkan Ops Buncit pada Jun 1993 untuk
menghentikan keganasan lelaki itu. Polis mengklasifikasikan profil
lelaki itu sebagai bukan pembunuh upahan sebaliknya Bentong Kali yang
bergerak bersama pengikutnya sekadar melakukan pembunuhan demi
pembunuhan mengikut kehendak nafsu mereka. Antara pembunuhan yang
dilakukan adalah dengan melepaskan tembakan rambang dalam satu majlis
sambutan hari lahir menyebabkan 2 orang maut di tempat kejadian. Juga
melepaskan sedas tembakan ke atas seorang penjual roti canai kerana
menegur tindakan kurang ajar Bentong Kali yang kencing berhampiran
rumahnya. Semua jenayah berlaku di kawasan perumahan Taman Tanming Jaya.
Ini dikaitkan dengan Bentong Kali kerana penjenayah itu turut menyewa
selama tiga bulan di Taman Tanming Jaya sebelum melarikan diri. Tindakan
P. Kalimuthu menyebabkan penduduk di taman itu hidup dalam ketakutan.
Ada antara mereka yang berpindah buat sementara waktu ke kawasan lain
kerana khuatir menjadi mangsa seterusnya. Terbabit juga dalam kejadian
pembunuhan seorang lelaki dan mencederakan seorang lelaki lain di
Kampung Sungai Tepi, Jalan Klang Lama. Penemuan bukti kelongsong peluru
9mm dari pistol Sig Sauer menyebabkan polis mengesyaki pembabitan P.
Kalimuthu atau Bentong Kali dalam kejadian siri pembunuhan berkenaan.
Pencarian pihak berkuasa kemudian berhasil apabila Bentong Kali
dikatakan keluar dari persembunyiannya dipercayai untuk mencari seorang
bekas konconya di Jalan Klang Lama. Intipan polis kemudian membawa
kepada serbuan di markas persembunyian lelaki itu di sebuah rumah teres
dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Drama
tembak menembak berlaku dan akhirnya penjenayah dan tiga lagi rakannya
berjaya ditembak mati oleh polis.
3. Mona Fandey
Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey, adalah seorang
penyanyi pop, dukun, dan pembunuh dari Malaysia. Dia disabitkan
melakukan jenayah berat dengan terbabit dalam kes pembunuhan seorang
ahli politik, Mazlan Idris, pada tahun 1993. Kerjayanya sebagai penyanyi
pop tidak bertahan lama, namun ia masih berjaya menghasilkan satu
album. Selepas itu, Mona mula terlibat dalam kegiatan sihir spiritual
yang dikenali sebagai bomoh atau dukun tempatan. Dia menawarkan
perkhidmatannya kepada pelanggan dan sebahagian besarnya daripada
masyarakat kelas atasan termasuk ahli ahli politik. Dikhabarkan bahawa
Mazlan Idris, seorang ahli politik Adun Batu Talam, Pahang, telah
berjumpa dengan Mona untuk mendapatkan perkhidmatan darinya. Mazlan
Idris pernah menuntut di Amerika Syarikat dan merupakan seorang ahli
politik hebat dan berkuasa dari United Malays National Organisation
(UMNO) parti. Pada saat itu, Mona bekerja dengan suaminya Mohamad Nor
Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Hassan.
Mona dan suaminya berjanji untuk membantu Mazlan dengan memberinya
beberapa "benda" yang sama dimiliki oleh bekas Presiden Sukarno demi
meningkatkan dan mengekalkan kekuasaannya. Mona menuntut RM 2.5 juta
daripada Mazlan sebagai bayarannya. Oleh itu Mazlan telah membayar
kepada pasangan tersebut dengan sejumlah wang RM 500,000 sebagai deposit
dan memberi mereka 10 sijil tanah sebagai jaminan untuk sisa RM 2 juta.
Satu perjanjian telah dibuat diantara mereka untuk melakukan
pembersihan ritual yang akan dilakukan di rumah Mona. Mazlan disuruh
berbaring di lantai sementara Mona menaburkan kelopak kelopak bunga
kepadanya. Dia kemudian menyuruh Mazlan untuk menutup mata dan menunggu
wang untuk "jatuh dari langit". Dengan sepantas kilat, Juraimi menghayun
sebilah kapak menghentak Mazlan dan dicincangkan nya seluruh anggota
badan Mazlan. Mayat Mazlan ditemui oleh polis pada 22 Julai 1993 dimana
anggota tubuhnya dipisahkan dalam 18 bahagian yang dikebumikan di sebuah
gudang dekat rumah Mona di Pahang.
Mazlan dilaporkan hilang pada tarikh 2 Julai 1993 selepas menarik RM
300,000 dari bank. Setelah pembunuhan itu, Mona dilaporkan telah
membelanjakan wang yang diterimanya dengan membeli sebuah Mercedes-Benz.
Namun demikian, sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah
jua. Mona, suaminya, dan Juraimi akhirnya ditangkap dan diadili di
Mahkamah Tinggi Temerloh. Sepanjang persidangan, Mona memperlihatkan
perilaku aneh termasuk muncul ceria, terus tersenyum dan berpose untuk
photographer wartawan. Dia berpakaian mewah dengan design yang cerah dan
berwarna warni pada gaun. Dia juga berkata, "saya seperti mempunyai
ramai peminat". Mona juga dilaporkan pernah mengucapkan kata kata "Aku
Takkan mati" dan masih tenang dan tersenyum. Mahkamah Tinggi mendapati
mereka bertiga bersalah dan menghukum mereka gantung sampai mati. Mona,
Affandy, dan Juraimi akhirnya digantung pada tarikh 2 November 2001 di
Penjara Kajang.
4. Hanafi Mat Hassan
Hanafi Mat Hassan, 38 tahun, seorang pemandu bas ekspres Kiara telah
melakukan dua jenayah besar, rogol dan bunuh, di dalam basnya sendiri
yang bercermin gelap. Mangsa, Noor Suzaily Mukhtar, seorang jurutera
komputer dirogol oleh Hanafi pada 7 Oktober 2000 antara waktu 8.50 pagi
di Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dan pukul 9.15 pagi di sebatang jalan
di kawasan projek pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang. Selepas dirogol,
mangsa dibunuh kejam. Hanafi yang berasal dari Bachok, Kelantan didakwa
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori
dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum
20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan. Perogol telah menjalani
hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas subuh dan mayatnya
dibawa ke Hospital Kajang sebelum dituntut keluarganya untuk dibawa
pulang ke Binjai, Kelantan. Jenazahnya kemudian dikebumikan di tanah
perkuburan Kampung Kubur Datu, Binjai.
5. Geng Azhar
Geng Azhar Kastam merupakan kumpulan penjenayah yang beroperasi di
Malaysia. Pada 3 Januari 2009, 10 suspek menyamar sebagai pegawai kastam
dan polis lalu menyerbu sebuah bengkel kereta di Selat Selatan,
Pandamaran, Pelabuhan Klang , Selangor. Kononnya mahu melakukan
pemeriksaan ke atas kenderaan yang terdapat di situ. Suspek membawa
keluar dua buah kereta iaitu Subaru Impreza dan BMW dengan alasan kedua
dua buah kenderaan tersebut perlu menjalani pemeriksaan rekod oleh
kastam. Pemilik bengkel dikatakan diminta membayar wang sejumlah
RM50,000 untuk dua kereta itu sekiranya mahu menyelesaikannya di luar.
Pada 7 Januari 2009 jam 4.00 petang, seorang suspek lelaki berjaya
ditangkap di Plaza Tol Batu 11, Kajang yang membawa kepada tangkapan 10
lagi ahli kumpulan berkenaan di Cheras dan Ampang pada 8 Januari 2009.
Semua suspek berusia dalam lingkungan antara 27 hingga 48 tahun. 8
lelaki dan 3 wanita.
6. Prebet Adam
Prebet Adam merupakan seorang askar melayu pada sesuatu masa yang lalu.
Peristiwa amukan Prebet Adam pada tahun 1987 sebenarnya berpunca
daripada kematian adik kesayangannya. Adik Prebet Adam merupakan seorang
‘Caddy’ atau penolong pemain golf (individu yang bertanggungjawab
mengangkat segala batang golf) kepada Sultan Johor pada ketika itu.
Dikhabarkan, pada suatu hari, ketika sultan Johor sedang bermain golf,
adik Prebet Adam ini telah tertawa kecil melihat bola golf Sultan Johor
ini yang tidak masuk lubang pada jarak sejangkal. Terkenal dengan sifat
panas baran beliau, Sultan Johor ini lantas bertindak balas dengan
menghayunkan kayu golfnya yang keras itu kepada adik Prebet Adam
tersebut. Dan secara tidak diduga, adik Prebet Adam mati ditempat
kejadian.
Disebabkan pada ketika itu raja raja Melayu masih mempunyai kuasa
kekebalan, maka pembesar tersebut telah terlepas begitu sahaja tanpa ada
sebarang tindakan undang undang. Sampai sahaja ke pengetahuan Prebet
Adam, maka mengamuklah dia. Pada malam 18 oktober 1987, Prebet Adam
telah mengamuk di jalan Chow Kit dengan membawa bersama senjata M-16
nya. Prebet Adam telah menembak secara melulu ke arah orang ramai kerana
berang dengan kezaliman terhadapnya dan bagi menarik perhatian seluruh
negara. Dia lari sambil menembak membuta tuli dan telah terkena seorang
cina di hadapan Hankyu dan seorang melayu di hadapan Batu Road
Supermarket.
Esoknya, sejarah tercipta apabila Chow Kit sunyi dan lenggang apabila
seorang pun tidak dibenarkan masuk ke Chow Kit kerana keadaan tegang
tersebut. Penembak tepat polis telah ditempatkan di merata bangunan di
situ bagi mengesan Prebet Adam namun gagal. Prebet adam dikatakan telah
menyorok disebuah reban ayam milik salah seorang penduduk Kampung Baru.
Tuan punya reban ayam tersebut yang menyedari kehadiran Prebet Adam
tersebut telah melaporkan kepada polis. Namun, setelah dikepung oleh
polis, Prebet Adam tetap enggan menyerahkan diri. Dengan kehadiran bos
Prebet Adam yang berpangkat kolonel atau jeneral, akhirnya telah berjaya
memujuk Prebet Adam untuk menyerah diri. Bagi mententeramkan situasi
negara pada ketika itu, Prebet Adam telah dicaj tidak siuman dan telah
dimasukkan ke hospital bahagia di sebuah wad khas di Tanjung Rambutan.
Sultan Johor tersebut pula terlepas dari hukuman setelah ayahandanya
memohon maaf bagi pihak anaknya.
7. Ahmad Najib bukan Tan Sri Najib Razak
Ahmad Najib Aris, 33 tahun, bekas pencuci kabin kapal terbang pasrah dan
reda setelah hakim mengekalkan keputusan hukuman gantung sampai mati ke
atasnya. Walaupun Ahmad Najib masih boleh merayu kepada Lembaga Jemaah
Pengampunan Selangor sebagai usaha terakhir, namun ianya jarang dapat
menyelamatkan pesalah daripada hukuman tali gantung. Kisah bermula dari
sebuah parti keraian. Canny Ong Lay Kian, 28 tahun, menghadiri majlis
makan malam bersama kawan kawannya dan ahli keluarga yang lain pada hari
Jumaat 13 Jun 2003. Ibu Canny, Pearley Viswanathan dan kakaknya Elsie
juga turut hadir ke majlis itu. Kereta mereka diparkir di tempat letak
kereta dalam pusat beli belah Bangsar yang menempatkan Restoran Monte,
lokasi parti tersebut.
Pada 10.30 malam, Canny bersama kakak dan ibunya hendak pulang ke rumah.
Ketika hendak membayar tiker parking di mesin tiket, mereka baru
perasan yang tiket tersebut tertinggal dalam kereta. Jadi Canny pergi
bersendirian mendapatkan tiket kereta itu. Dari situlah permulaan kisah
yang membawa kepada kematian Canny. Kamera litar tertutup di bangunan
tersebut menunjukkan bahawa kereta Proton Tiara milik ibu Canny dipandu
laju dan merempuh penghadang laluan keluar. Sebelum Canny dirogol, Ahmad
Najib mengakui mengacu pisau kepada mangsa. Tertuduh dalam pengakuannya
menganggap hubungan seks dengan Canny adalah atas kerelaan mangsa.
Bagaimanapun, perbuatan Ahmad Najib mengeluarkan sebilah pisau ditafsir
mahkamah sebagai tindakan mengugut bagi membolehkan Ahmad Najib merogol
mangsa. Bukti paling kukuh yang menuduh Ahmad Najib sebagi pesalah
adalah apabila ujian DNA terhadap sepasang seluar jeans yang dipakai
Ahmad Najib akhirnya didapati mengandungi percikan darah Canny dan ianya
cukup kuat bagi membuktikan dia bertanggungjawab membunuh mangsa.
8. Mat Komando
Mat Komando atau nama sebenarnya Ahmad Mohd Arshad, 37 tahun, mengetuai
satu kumpulan jenayah yang dikenali sebagai Kumpulan 13. Kumpulan yang
diketuainya telah melakukan lebih 40 rompakan bersenjata di seluruh
negara sebelum ditumpaskan. Mat Komando kekal menjadi satu satunya
penjenayah yang telah merompak Bank BSN dan Pejabat Pos. Anak kedua
daripada lapan beradik dari Kampung Selengkoh, Yan ini bukanlah anggota
komando yang cukup terlatih dan berpengalaman luas kerana kerjayanya di
dalam perkhidmatan tentera hanya selama dua tahun. Selepas berhenti
daripada perkhidmatan tentera, Mat Komando bekerja sebagai pemandu lori
di Kuala Lumpur. Tugas barunya itu pun tidak bertahan lama dan selepas
itu dia sering bertukar kerja lain seperti menjadi pemandu teksi dan
pemandu bas.
Mat Komando dikatakan bukan seorang yang bersifat bengis, keras hati
walaupun terlibat dalam kegiatan jenayah. Ramai rakannya juga tidak
percaya dia terlibat dalam perbuatan itu kerana dia jarang bercakap
tentang apa yang dilakukannya dan tidak menunjukkan reaksi keras jika
tidak menyetujui sesuatu perkara. Satu sifat yang terdapat pada diri Mat
Komando ialah dia sering membantu orang lain dan kerap membawa balik
buah tangan untuk saudara maranya walaupun nilainya tidak seberapa.
Sebelum dia menjadi buruan polis, Mat Komando sempat menyiapkan rumah
baru itu untuk kediaman isterinya dan seorang anak tunggal berusia 10
tahun yang cacat pendengaran. Mat Komando dikatakan mempunyai ilmu kebal
dan mampu menghilangkan diri walaupun telah dikepung oleh pihak polis
beberapa kali walaupun rakan rakanya yang lain mati ditembak polis.
Mat Komando pernah terlepas daripada kepungan polis ketika anggota
kumpulan itu pulang daripada bercuti bersama keluarga dan teman di
sebuah pusat peranginan di Tasik Pedu. Mat Komando muncul semula enam
bulan kemudian di Gemas, Negeri Sembilan pada 28 Julai lalu apabila
sekali lagi dia bolos daripada kepungan polis. Rakan sepelariannya,
Shukri Husain yang terlepas daripada buruan polis ketika bersembunyi di
sebuah rumah di Gemas, Negeri Sembilan akhirnya menjadi musuhnya.
Menurut pihak polis, Mat Komando dikatakan cuba membunuh Shukri di
sebuah kampung di Baling baru baru ini. Shukri yang dibelasah dengan
teruk sempat menyelamatkan diri tetapi akhirnya ditahan oleh polis. Mat
Komando telah mati ditembak menembusi kepalanya dalam satu ops yang
dinamakan Ops Api Sawit di Pendang Kedah.
9. Al Ma'unah
Al Ma'unah adalah sebuah organisasi pengganas militan di Malaysia yang
terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan nekad ke atas
sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan
sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan. Kumpulan tersebut
kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran
perkampungan di Sauk, Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara
Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Mohamed Amin bin
Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al
Ma'unah mengetuai misinya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Mohamed
Amin turut menghantar rakannya untuk meletupkan kilang minuman keras
Anchor dan Carlsberg di Petaling Jaya berhampiran Kuala Lumpur dan kuil
Hindu di Batu Caves. Serangan itu menyebabkan hanya kerosakan kecil
sahaja.
Ahli kumpulan tersebut, Shahidi dan Khairul Anuar, kemudiannya diarahkan
untuk meletupkan kilang Carlsberg di pinggir kota Kuala Lumpur dengan
senjata pelancar bom tangan yang dirampas daripada kem tentera. Mereka
memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan
ke atas Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr Mahathir
Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Pada
awal pagi 2 Julai 2000, 20 ahli kumpulan Al-Maunah menaiki tiga
kenderaan Pajero dan bergerak ke Pos 2 Kem Kuala Rhui pada jam 2.50 pagi
dan kemudian ke Kem 304 Rejimen Askar Wataniah pada jam 4.15 pagi.
Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan
pemeriksaan mengejut. Mereka menyatakan ingin mengadakan pemeriksaan
mengejut ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem
tersebut. Mereka berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dan
imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat
senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima
pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan
kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet,
9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom
tangan berkaliber 40mm.
Anggota geng tersebut kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan
Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Amin mengagih agihkan semua senjata yang
dilarikan tersebut kepada orang orangnya untuk dilatih. Bunyi tembakan
yang jarang di dengar oleh penduduk kampung telah menarik perhatian
polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan
mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam
pengkalan mereka di Bukit Jenalik. Sepasukan polis dihantar mengepung
Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Walaubagaimanapun, dua
anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah Ahmad dan Koperal Detektif
Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar Puteh dan seorang anggota
komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh
Al-Ma'unah. Sepanjang 4 hari menjadi tawanan, anggota pasukan
keselamatan telah diseksa dan dianiaya.
Mereka dipaksa menggali parit di kawasan Bukit Jenalik untuk dijadikan
sebagai kubu pertahanan sekiranya pangkalan mereka diserang. Pada
sebelah malam, mereka telah diikat pada pohon durian. Amin mengetahui
identiti Truper Matthews, Amin menyeksa Matthews dengan menembak
kakinya. Amin kemudiannya menyuruh Jemari Jusoh menembak Truper
Matthews. Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma'unah, Abu Bakar
bin Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak
balas, Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan. Semasa
tembak-menembak tersebut, Koperal Detektif Sanghadevan telah ditembak
mati. Mayat Sanghadevan kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper
Matthews oleh Mohd Shah dan Jaafar.
Kumpulan Al-Ma'unah kemudiannya menyerah diri, dan Kerajaan Malaysia
bertindak memerangi ahli kumpulan Al-Ma'unah selepas memberi peluang
untuk kumpulan tersebut menyerah diri dan menghentikan sebarang
percubaan untuk mendapatkan sokongan awam kepada ahli kumpulan
Al-Ma'unah dan menyatupadukan mereka kembali kepada masyarakat. Mohamed
Amin kemudiannya menyerah diri. Sebelum itu, beliau yang bersenjatakan
raifal M16/M203 telah menarik kolar pakaian Leftenan Jeneral Zaini Mohd
Said, komander Tentera Darat Malaysia dan cuba untuk menembaknya dari
jarak dekat. Tetapi Jeneral Zaini bertindak menepis laras senjata Amin
dan telah tertembak salah seorang anggota militan. Jeneral Zaini
kemudiannya dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) atas
keberaniannya dan sumbangannya menamatkan keganasan tersebut tanpa
mempedulikan nyawa beliau. Dua jam sebelum insiden tersebut, ASP Abd
Razak Mohd Yusoff terlebih dahulu bergerak ke markas tersebut bersama
dengan 20 orang anggota pasukan elitnya 69 Komando PGK PDRM menaiki
bukit ke arah di Kumpulan Al Ma'unah berkhemah.
Setelah mendapat perlindungan yang sesuai untuk ahli kumpulannya, Abdul
Razak bergerak bersendirian menyelinap masuk ke kubu. Beliau menemui
sendiri Ketua Kumpulan Al Ma'unah iaitu Amin. Berlakulah perdebatan
antara Abdul Razak dan Amin yang mengambil masa selama 2 jam dan
akhirnya, ketua kemupulan Al Ma'unah tersebut bersetuju untuk menyerah
diri. Maka, setelah Amin setuju untuk menyerah diri barulah ASP Abdul
Razak memanggil Pasukan Leftenan Jeneral Zaini untuk proses perletakkan
senjata. Di atas keberanian dan kebijaksanaan berbincang ASP Abdul Razak
telah dianugerahi pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) atas
jasanya.
10. Rosidi Ismail
Tanggal 5 Januari 2010, empat sekeluarga ditemui mati dibunuh dengan
kejam dalam dua rumah berasingan di sebuah kawasan ladang terpencil di
Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Dalam kejadian, mangsa, Atan Daud, 90
tahun, bekas imam Masjid Kampung Batang Rokan ditemui terbaring
berlumuran darah berhampiran mayat isterinya, Sufiah Keatas, 80 tahun.
Mayat Atan ketika ditemui putus tangan kanannya dipercayai ditetak.
Mayat isterinya, Sufiah pula putus tangan kiri. Turut ditemui
berhampiran ialah mayat menantu mereka, Ismail Awang, 76 tahun, dalam
keadaan tidak berkepala. Mayat seorang lagi mangsa iaitu anak Ismail,
Siti Khadijah, 22 tahun, ditemui dengan pisau tercacak di bahagian dada
di rumah bersebelahan. Kejadian itu disedari seorang lagi anak Ismail,
Siti Mariam, 19 tahun, yang pulang dari sekolah pada pukul 2 petang.
Di lokasi kejadian, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, unit
anjing pengesan dan Unit Forensik berada di kawasan ini sejak petang
tadi mencari petunjuk mengenai kejadian tersebut. Polis menemui senjata
yang digunakan dalam kejadian bunuh itu. Sementara itu, polis sedang
mengesan seorang lelaki, Rashidi Ismail berusia 34 tahun yang dipercayai
boleh membantu siasatan kes bunuh empat sekeluarga ini. Polis menolak
sama sekali motif pembunuhan itu sebagai kes samun kerana barang kemas
dan wang tunai didapati tidak hilang daripada mangsa yang dibunuh.
Akhirnya pembunuh kejam yang merupakan ahli keluarga mangsa berjaya di
tangkap di ibu negara di Stesen LRT Masjid Jamek KL. Semasa penangkapan
itu, suspek bertindak ganas dan cuba menyerang anggota polis yang ingin
menahan dia dengan menggunakan sebilah pisau yang dibawanya. Suspek
dikatakan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan masalah penagihan
dadah mengikut data polis. Mengikut maklumat dari keluarga suspek, dia
adalah seorang anak yang baik tetapi telah putus tunang sebanyak 2 kali
dan kebelakangan ini, suspek sering ketawa, menangis dan bercakap
sendiri.
Sebelum itu, kepala seorang mangsa yang dipenggal gagal ditemui oleh
pihak polis sehingga suspek memberikan hasil maklumat. Kepala bapa
kandung yang dipenggalnya telah ditanam 200 meter dari pintu masuk utama
ke tanah perkuburan Islam di Seksyen 21 Shah Alam. Berikutan dengan
kenyataan dari Rasidi Ismail yang masih mengekalkan pengakuan
bersalahnya atas tuduhan tersebut kerana mendakwa dia mendapat arahan
untuk bunuh keluarganya itu dari langit. Oleh yang demikian, mahkamah
Tinggi mengarahkan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital
Permai, Tampoi, Johor selama sebulan. Pada 7 September 2010, Rasidi
Ismail dibebaskan dari pertuduhan membunuh empat orang ahli keluarganya
pada 5 Januari lalu oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati tidak waras
semasa melakukan perbuatan tersebut. Rasidi Ismail disahkan menghidap
penyakit skizofrenia iaitu mengalami halusinasi, ilusi, paranoid dan
kepercayaan palsu oleh pakar dari Hospital Permai, Johor.
Doktor pakar berkenaan turut merumuskan tertuduh tidak sedar ketika
kejadian berlaku ekoran terpengaruh kepercayaan palsu selepas mendapat
arahan tulisan di dinding dan bisikan suara halus. Dengan keputusan itu
Rasidi Ismail terlepas dari hukuman gantung namun dia diperintahkan
ditahan di Penjara Kajang, Selangor sehingga diperkenankan Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Nasihangit memohon agar pembaca semua sedekahkan Al-Fatihah kepada
mangsa kejadian dan juga suspek yang beragama Islam. Semoga kesilapan
yang mereka lakukan di dunia ini mendapat pengampunanNya. Masih ada
banyak lagi kes-kes pembunuhan berprofil tinggi yang lain namun sudah
cukup cukup sudah, cukup sampai disini saja, daripada batin terseksa,
lebih baik nasihangit pergi kerja. Hahahaha ;3
kredit: http://kumbangjingga.blogspot.co ... emuka-malaysia.html
No comments:
Post a Comment