Pages

Sunday 22 June 2014

Keadaan remaja OKU yang dikurung sampai kering dilaporkan tidak membimbangkan

 SEREMBAN - Remaja lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang ditemui dikurung dalam keadaan menyedihkan di sebuah rumah pangsa di Taman Semarak, Nilai pagi ini, dilaporkan berada dalam keadaan tidak membimbangkan setelah mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar berkata keadaan Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditempatkan di wad kanak-kanak hospital berkenaan sedang dipantau.
 
"Pemeriksaan doktor mendapati dia tidak mengalami demam, mahu pun batuk. Setakat ini, pihak hospital tidak tahu lagi sejarah perubatan remaja ini kerana kita tiada menyimpan rekod mengenainya," katanya kepada Bernama selepas melawat remaja itu di HTJS di sini, hari ini.
 
Beliau meminta polis agar menyiasat perkara itu jika terdapat unsur penderaan dan pengabaian.
 
"Setakat ini, remaja itu akan dilindungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara laporan penuh daripada pihak hospital. Remaja itu berada di bawah pengawasan dan pemantauan JKM," katanya.
 
Remaja itu ditemui semasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menjalankan operasi bersepadu Ops 6P di kawasan itu pagi ini.
 
Ketika ditemui, remaja itu bukan hanya kurus kering, malah persekitaran bilik di rumah pangsa itu didapati dipenuhi dengan tanah dan najis.
 
Di Putrajaya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengarahkan JKM melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian pengabaian remaja kurang upaya itu.
 
Menteri berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sekiranya benar terdapat unsur pengabaian, JKM akan menempatkan remaja itu di pusat perlindungan kendalian JKM.
 
"JKM juga akan memberikan perhatian serius terhadap kebajikan remaja tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Rohani berkata siasatan awal JKM mendapati remaja lelaki berusia 15 tahun itu merupakan OKU 'celebral palsy'.
 
"Dia dan ibunya berasal dari Sabah. Ibu bapanya telah bercerai dan ibu yang menjaganya telah putus hubungan dengan bekas suami," katanya.
 
Bagaimanapun menurut beliau, ibu remaja berkenaan menafikan anaknya dikurung dan diabaikan.



sumber

No comments:

Post a Comment