Gambar Hiasan
Diantara manusia yang mendapat umur yang sangat panjang di
dunia ini adalah Nabi Nuh a.s. Al-Qur’an menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s.
pernah hidup disekitar kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun.
Selama masa itu, Nabi Nuh a.s. telah menyeru mereka pada jalan Allah
SWT, namun hanya sedikit dari mereka yang mengikuti ajarannya.
Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari ajarannya, malah sering
menggangu dakwah kepada mereka, Nabi Nuh a.s. memohon kepada Allah SWT
agar ditimpakan bencana kepada mereka.
Allah SWT mengabulkan permintaannya. Nabi Nuh a.s. diperintahkan
untuk membuat kapal besar yang boleh memuatkan semua jenis makhluk
bernyawa kerana Allah akan menurunkan hujan yang sangat lebat dan
mengalirkan banjir besar sehingga tidak ada satu pun dari mereka yang
kafir akan tertinggal.
Tiba waktu yang ditentukan, bersama pengikut dan segenap pasangan
makhluk melata lain, Nabi Nuh a.s. pun naik keatas kapal. Hujan pun
mulai turun membasahi bumi.
Nabi Nuh a.s. memerhatikan satu persatu mereka yang hadir ke atas
kapal dan tiba-tiba matanya terpandang seorang lelaki tua yang tidak
dikenalinya.
“Siapa kamu?” tanya Nabi Nuh a.s.
“Aku Iblis,” jawabnya.
“Mengapa engkau mahu ikut serta bersama kami?” tanya Nabi Nuh a.s.
“Aku bukan mahu mengikuti kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku
hanya ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka
bersamamu, asal hati mereka bersamaku,” jawab Iblis berterus-terang.
Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat jahatnya untuk mencelakakan manusia sejak zaman Adam sehinggalah ke hari kiamat.
“Keluarlah dari kapalku wahai musuh Allah!” kata Nabi Nuh a.s.
Iblis tidak menjawab sama ada mahu keluar atau terus kekal didalam kapal Nabi Nuh a.s.
Sebelum Nabi Nuh a.s. Allah SWT juga pernah mengusirnya keluar dari
syurga, tetapi Iblis masih juga membangkang perintah Allah dan terus
menggoda Adam sehingga berjaya.
Iblis hanya berkata, “Wahai Nuh, aku menyimpan lima
strategi, dengannya aku boleh mencelakakan umat manusia. Aku akan
sebutkan padamu yang tiga, tetapi aku akan menyembunyikan darimu dua
yang lain.”
Allah SWT kemudian mewahyukan pada Nabi Nuh a.s. agar tidak usah
mendengarkan yang tiga, tetapi dengar saja dua yang cuba disembunyikn
Iblis.
“Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang engkau
ingin sebutkan itu. Tapi sebutlah dua strategi yang engkau sembunyikan
dariku,” jawab Nabi Nuh a.s.
Iblis berkata, “Wahai Nuh, aku akan berusaha membinasakan manusia
dengan dua cara; pertama, dengan cara menanamkan sifat dengki dalam hati
mereka, dan kedua; dengan cara menanamkan sifat nafsu dalam jiwa
mereka. Kerana dengki maka aku dilaknat oleh Allah SWT dan dijadikannya
sebagai syaitan yang terkutuk. Dan kerana nafsu maka Adam menghalalkan
segala makanan di syurga sehingga dia dikeluarkan dari dalamnya. Dengan
dua sifat ini, kami semua dikeluarkan dari syurga.”
Setelah kapal Nabi Nuh a.s. mendarat bersama semua penumpangnya, tiba-tiba Iblis datang lagi menghampirinya.
Dengan suara yang amat merdu dia berkata kepada Nabi Nuh
a.s., “Aku sangat berterima kasih padamu, lebih dari semua makhluk yang
ada dimuka bumi ini.”
“Permohonanmu agar orang-orang kafir itu dicelakakan telah dikabulkan
oleh Allah SWT. Dengan cara itu bererti engkau telah meringankan
bebanku,” kata Iblis.
“Wahai Nuh, jangan sekali-kali engkau berasa dengki kerana ia telah
menghantarku pada keadaan seperti ini. Dan jangan sekali-kali engkau
menuruti nafsu, kerana ia telah menghantar Adam seperti yang
dialaminya.”
Itulah nasihat Iblis kepada Nabi Nuh a.s. sebelum berlalu pergi daripada kapal itu.