Penyanyi Arab yang semakin menjadi
sebutan ramai sejak kebelakangan ini, Humood AlKhudher, 26, tidak
menyangka video rakaman aksinya di dalam kereta dan sedang menyanyikan
lagu popularnya berjudul Kun Anta menjadi viral di Internet.
Menurut jejaka kelahiran Kuwait ini, dia
terkejut apabila video tersebut mendapat lebih sejuta tontonan menerusi
laman video sosial, Youtube sejak ia dimuat naik kira-kira dua bulan
lalu.
"Ramai yang suka dengan lagu Kun Anta
hingga menjadi viral dan tambah mengejutkan saya, ramai yang menonton
dan 'like' video saya menyanyikannya di dalam kereta.
"Sebenarnya, itu bukan pertama kali saya
rakam video dari dalam kereta tetapi itu video saya dalam kereta yang
pertama menjadi viral," katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert
Malam Inspirasi sempena Festival Karyaone Fita UiTM 2015 yang akan
berlangsung pada 12 Jun 2015.
Pada konsert yang akan berlangsung di
Dewan Agung Tunku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam itu, Humood akan
membuat persembahan buat pertama kalinya secara 'live' di hadapan
peminat tanah air.
Selain itu, konsert tersebut juga dijayakan penyanyi terkenal, Amy Search dan Lah Ahmad.
Berkongsi lanjut mengenai sambutan
hangat terhadap lagu Kun Anta, Humood menyatakan dia bersyukur sekaligus
menyifatkan ia satu penerimaan luar biasa peminat terhadap lagu
tersebut.
Malah, dia berasa gembira kerana ramai
peminat Malaysia yang membuat parodi lagu tersebut termasuklah juga
selebriti jelita, Neelofa.
Katanya, dia mengenali Neelofa sejak menonton parodi di dalam kereta oleh aktres itu menerusi laman sosial, Instagram.
"Saya tidak banyak tahu tentang muzik
Malaysia tapi saya kenal penyanyi seperti kumpulan Raihan, Rabbani dan
Yuna. Saya ada dengar lagu-lagu mereka.
"Saya juga tahu Neelofa tetapi belum
pernah berjumpa lagi dengannya. Saya tahu namanya sejak saya tonton
parodi video yang dilakukannya menerusi Instagram dan saya suka parodi
itu.
"Saya difahamkan akan ada satu sebuah
program dan saya akan berjumpanya (Neelofa) di sana nanti," katanya yang
terbabit dengan program hiburan, Meletop.
Dalam pada itu, Humood juga menyatakan
dia turut menerima tempias impak daripada populariti lagu berkenaan. dan
kini semakin dikenali ramai serta bertambah peminat.
"Lagu Kun Anta memperkenalkan saya kepada ramai peminat termasuk kini saya punya ramai peminat di Malaysia.
"Walaupun sudah dikenali, saya cuba untuk tidak mengubah apa-apa tentang diri saya.
"Lagu Kun Anta itu sendiri maksudnya
jadilah diri sendiri. Jadi, saya akan terus menjadi diri saya dan
berharap peminat terus menyokng karier saya," kataya yang merancang mahu
menghasilkan lebih banyak lagu berunsur inspirasi dan motivasi pada
masa hadapan.
No comments:
Post a Comment