• MH370
1 / 1
KUALA LUMPUR - Satelit Airbus dari Perancis telah mengesan sebanyak 122 buah objek yang mungkin mempunyai hubung kait dengan MH370 di lokasi carian kira-kira 2,557 kilometer dari Perth, Austalia.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakaman imej itu turut didedahkan oleh kerajaan Perancis, China dan Australia.

"Rakaman imej tersebut dirakamkan oleh syarikat satelit Airbus Defence and Space di Perancis pada 23 Mac lalu,

"Ada sesetengah objek berukuran 23 meter panjang dan ada di antaranya berwarna cerah," katanya.

Menurutnya, objek yang dikesan berada kira-kira 2,557 kilometer dari Perth.

"Data mengenai imej tersebut telah dihantar ke Malaysian Remote Sensing Agency (MRSA) untuk dianalisis dan keputusannya akan dikeluarkan secepat mungkin," katanya.

Jelasnya, objek tersebut mungkin ada  kaitan dengan MH370 namun ianya tidak dapat disahkan setakat ini.

"Pihak kami menerima empat petunjuk dari satelit yang berbeza dari Australia, China dan Perancis, ianya mungkin membolehkan pasukan penyiasat mengecilkan perimeter carian di lokasi terbabit," katanya lagi.