• bumi Sekadar gambar hiasan.
KUALA LUMPUR - Kos penerbangan suborbit boleh menjadi semurah RM15,000 pada masa depan yang dapat membantu membangunkan industri pelancongan, kata seorang profesor ekonomi di Universiti Azabu, Jepun, Prof Dr Patrick Collins.

"Pada masa ini kos penerbangan ke angkasa dari US$100,000 hingga US$200,000 (RM327,170 hingga RM654,340) tetapi jika dilakukan pada skala lebih besar para jurutera percaya ia boleh menjadi serendah RM15,000 pada tahun 2020," kata Collin dalam ceramahnya bertajuk 'From Microgravity to Orbital Flight' di Planeterium Negara.

Penerbangan angkasa suborbit adalah penerbangan angkasa lepas dengan pesawat angkasa lepas berada pada paras 100 kilometer di atas paras laut. Ia boleh menyemarakkan pelancongan angkasa selain mengurangkan kos bagi penyelidikan mikrograviti.

Penerbangan suborbit membantu penyelidik menjalankan kajian tanpa pergi ke angkasa lepas dan dengan itu menjimatkan masa dan kos.

Collins berkata pelancongan angkasa boleh dikomersialkan seperti perjalanan udara dan usaha sedemikian dan penyelidikan sedang dijalankan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jepun selain beberapa negara Eropah.

"Pada tahun 2000 sahaja, 1 bilion penumpang menaiki pesawat tetapi pada 2010, 2.5 bilion penumpang menggunakan perkhidmatan pesawat. Jadi pada masa depan, kita boleh menjangka lebih banyak orang akan melancong ke angkasa. Amerika, Jepun dan Eropah sedang berusaha menjadikannya satu kemungkinan," kata Collins.

Collins juga merupakan penyelidik yang bekerjasama dengan Institut Angkasa dan Sains Astronautika. Beliau juga merupakan penasihat kepada sebilangan syarikat dan penyelidikannya sejak 25 tahun lalu memberi tumpuan bagi merangsang pertumbuhan kegiatan angkasa secara komersial terutama untuk pelancongan dan bekalan tenaga.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) Dr Noordin Ahmad berkata dalam usaha untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia tidak diketepikan dalam perkara itu dan menjangkakan teknologi baharu seperti itu untuk mengurangkan kos.

"Kami menjangkakan konsep penerbangan suborbit akan digunakan untuk mempercepatkan kaedah lama bagi penghantaran ujikaji mikrograviti ke ISS (Stesen Angkasa Antarabangsa), yang memang mahal kosnya," kata Noordin kepada Bernama.

Malaysia telah melibatkan diri dalam penyelidikan mikrograviti sejak menghantar angkasawan pertama Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007.

Penyelidikan itu berkisar atas lima tema iaitu mikrob di angkasa, sel-sel diangkasa, protein di angkasa, makanan di angkasa dan ujikaji cadangan para pelajar.

Sebagai satu kesinambungan, Malaysia meneruskan penyelidikan dengan kerjasama Jepun dan Rusia dalam bidang penerbangan parabola, penghabluran protein dan benih-benih angkasa dari 2008 hingga akhir 2013. - Bernama