Pages

Friday, 16 January 2015

Harapan Bercuti Di Singapura Bersama Tunang Musnah

SINGAPURA (Bernama) — Louise Sitharta (gambar bawah) sepatutnya bercuti di sini bersama tunangnya sebelum mereka melangsungkan perkahwinan Mei tahun depan.
Namun begitu harapan wanita ini berkecai apabila tunangnya, Alain, merupakan seorang daripada penumpang pesawat AirAsia Indonesia yang hilang hari ini.
louise
“Tunang saya dan keluarganya berada di dalam penerbangan itu. Mereka merancang untuk bercuti dan saya sepatutnya bertemu dia di sini. Ini sepatutnya percutian terakhir dia bersama-sama keluarganya sebelum kami berkahwin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan menunggu di Aras 3, Terminal 2 Lapangan Terbang Changi di sini hari ini.
Warga Indonesia berusia 25 tahun itu menaiki penerbangan lain ke Singapura di sebelah tengah hari dan sepatutnya bertemu Alain di sini.
Louise berkata Alain, 27, menaiki penerbangan itu bersama-sama bapa, ibu dan tiga saudara lelaki.
“Saya berfikiran positif dan berharap kapal terbang itu akan ditemukan segera,” katanya, dan menambah tiada apa yang dapat dilakukannya selain menunggu perkembangan selanjutnya.
Louise mendapat perkhabaran itu menerusi siaran radio kira-kira 11 pagi ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Surabaya untuk ke Singapura.
Berdasarkan senarai penumpang yang dikeluarkan di sini, terdapat nama Alain Oktavianus Siaun.
Penerbangan QZ8501, dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura, membawa 162 orang termasuk tujuh anggota kru.
Pesawat itu, yang dijadual tiba pada 8.30 pagi ini, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi ini.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura, ketika terputus hubungan, pesawat itu berada di Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) Indonesia iaitu lebih 200 batu nautika di tenggara sempadan FIR Singapura-Jakarta. — BERNAMA




No comments:

Post a Comment