Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah
membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah
memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan
orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah
bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan
menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi
yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.
Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan
nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu
dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu
tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat
tersebut.
Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.
Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.
Keterangan/Hujah:
Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)
Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam
mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud :Rasulullah s.a.w. melaknat
perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang
minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani)
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan
bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith
Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping
itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.
Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya
sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada
diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang
muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.
Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang
memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara
yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.
Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan
tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat,
boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.
No comments:
Post a Comment