Kisah Seram Pensyarah Di Lebuhraya Salak Tinggi | Jam di dinding
menunjukkan hampir pukul 10:30 malam, Safar segera menulis nota-nota
terakhirnya di papan hitam seraya berkata, “Ok kelas cukup sampai topik
ini sahaja hari ini. Kita sambung chapter seterusnya hari Khamis nanti”.
Gambar Hiasan |
Dalam keadaan kelas yang riuh rendah, Safar menuju ke arah pintu.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu,
“On Thursday,jangan lupa bawa sekali Company Law Act, kita nak study
sikit case law”
Kata-kata Safar seolah-olah tenggelam di dalam keriuhan kelas, hanya
beberapa pelajar yang mengangguk tanda faham apa yang diperkatakannya.
Safar meneruskan perjalanan keluar dari bilik kuliah. Terus ke tempat
letak kenderaan staf yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari bilik
tersebut. Hanya ada beberapa kenderaan sahaja yang tinggal.
Angin malam yang nyaman menyegarkan Safar yang sudah sedikit mengantuk.
Diseluknya poket jeans lusuhnya dan mengeluarkan sejambak kunci.
Jari-jemarinya pantas mencari anak kunci motorsikalnya. Setelah kunci
yang betul dijumpai, Safar segera menghidupkan motorsikal berkuasa 100cc
yang sedari tadi kaku dihadapannya.
Sungguhpun berenjin kecil, deruman enjin motorsikal Safar mampu
memecahkan keheningan suasana.
Safar memulas pendikit dan motorsikalnya meluncur menuju ke pintu keluar
kolej. Dari jauh, sayup kedengaran para pelajar kelasnya bergerak
menuju ke hostel pelajar.
Setelah sampai ke jalan besar, Safar memulas lagi pendikit
motorsikalnya, kali ini motorsikal kecil itu meluncur laju. Jika dilihat
dari arah belakang, seolah-olah motorsikal kecil itu membelah kepekatan
malam yang sejuk itu.
Beginilah kehidupan seorang pensyarah separuh masa di kolej swasta,
bayaran tidak seberapa tetapi peluang ini sahaja yang ada untuk seorang
graduan baru sepertinya.
Namun Safar bersyukur dan gembira dengan pekerjaannya di kolej kecil
itu. Safar hanya perlu mengajar tiga kali dalam seminggu untuk kelas
waktu malam.
Tidak pernah sekalipun dia merungut tentang beban kerja, cumanya yang
membuat Safar sedikit keberatan adalah masa perjalanan pulang dari
kelas.
Kelas yang bermula pada pukul 7:30 malam dan berakhir pada pukul 10:30
malam sememangnya menyusahkan. Apatah lagi dengan menaiki motorsikal kecil dari Salak Tinggi ke rumahnya di Shah Alam.
Keadaan lebuh raya pada malam itu agak berbeza dari malam-malam
sebelumnya. Ini kerana kenderaan yang lalu adalah amat sedikit
berbanding malam-malam lain. Perjalanan jauh itu cukup untuk membuat
perasaan seorang penunggang motorsikal untuk dibuai dengan angan-angan.
Keadaan lebuh raya yang lurus itu membolehkan dia hanyut di dalam
pemikirannya sendiri.
Tiba-tiba motorsikal yang dinaiki olehnya seolah-olah semput dan
tersekat-sekat. Safar yang dari tadi sedikit mengelamun tersentak dengan
keadaan itu.
Mata Safar melilau mencari tempat untuk berhenti, dia bersyukur apabila
terlihat tidak kurang 30 meter, terdapat sebuah tempat berteduh untuk
motorsikal. Safar segera menuju ke tempat tersebut.
Setelah sampai, Safar segera turun dan menongkat motorsikalnya.
Dibelek-belek kenderaanya itu dengan penuh tanda tanya.
Kawasan teduhan di tepi lebuh raya itu hanya disinari dengan satu lampu
jalan yang amat malap. Namun Safar dengan jelas dapat melihat motornya
dan juga keadaan sekeliling. Pelik juga, biasanya masa seperti ini sudah
tentu banyak kenderaan yang lalu lalang. Tetapi tidak pada malam ini.
Hanya kendengaran bunyi motorsikalnya yang menderam.
Sekejap perlahan, sekejap kuat. Safar bingung dengan keadaan tersebut.
Dengan tidak semena-mena Safar terdengan satu bunyi dentingan loceng
yang amat kuat. Ia diikuti dengan ngiauan seekor kucing yang kesakitan.
Bingkas Safar menoleh kearah bunyi tersebut, Safar dapat melihat seekor
kucing yang menggelitik kesakitan betul-
betul dibahu jalan. Safar segera berlari kearah kucing tersebut dan
mendapati satu kesan luka yang amat besar di leher kucing itu. Safar
hanya mampu melihat penderitaan kucing tersebut yang berakhir dalam
beberapa minit sahaja.
Kucing yang sedari tadi menggelitik sakit telah diam dan kaku. Hanya
bunyi enjin motorsikalnya yang masih lagi menjadi peneman di kawasan
teduhan tersebut.
Kerana kasihan melihat bangkai kucing itu dibahu jalan, Safar mengambil
keputusan untuk mengangkat kucing itu dan meletakkannya kedalam sebuah
lubang tanah yang telah sedia ada disitu. Disepaknya tanah-tanah halus
agar menutupi lubang.
“Macam mana pula kucing ni boleh mati? Tak ada kereta langgar, tak
nampak pula bunyi anjing. Macam mana tiba-tiba ada luka besar di leher
kucing tu?” detik hati Safar.
Perasaan seram mula menyelubungi dirinya, tiba-tiba satu teriakan yang
amat kuat diikuti dengan suara tangisan yang amat menyeramkan memecah
kesunyian malam.
Safar segera melompat naik keatas motorsikalnya. Dipicit pendikit
sehabis mungkin. Ditendangnya penghidup enjin semahu-mahunya. Motorsikal
Safar sekali lagi meluncur keatas lebuh raya. Mula-mulanya tersekat,
tetapi setelah beberapa ketika ia lancar semula.
Safar masih lagi bernafas kencang, peluh sejuk membasahi dahinya. Apakah
bunyi yang didengarinya tadi? Manusia kah? Binatang kah?
Hati Safar lega apabila memasuki kawasan yang terang benderang di lebuh
raya tersebut.
Setelah melepasi satu susur keluar, kereta sudah mulai banyak, dan
terdapat juga beberapa motorsikal yang di hadapannya.
Sekali lagi Safar dikejutkan dengan satu bunyi hon motorsikal yang kuat.
Safar menoleh ke cermin pandang belakang dan melihat sebuah motorsikal
berkuasa besar dibelakangnya. Motorsikal tersebut tidak memotongnya
tetapi terus membunyikan hon berulang kali. Sekali lagi perasaan seram
menjengah di hati Safar.
Motorsikal berkuasa tinggi itu terus memecut dan memotong Safar. Semasa
menoleh kearah motorsikal tersebut, barulah Safar perasan ada rambut
yang menjurai dibahunya. Safar tidak berani mendongak keatas kerana
khuatir apa yang bakal dilihat.
Dia hanya mampu untuk pandang ke depan dan berharap apa sahaja yang
berada diatas kepalanya akan hilang sebentar lagi.
Kerana terlalu takut, mulut Safar seolah-olah terkunci untuk membaca
apa-apa ayat Suci Al-Quran. Pendikit motorsikalnya dipulas dengan lebih
kuat. Harapannya untuk sampai terus ke Bandaraya Shah Alam dengan
segera.
Akhirnya Safar hampir sampai di susur keluar Shah Alam, apabila memasuki
jalan motor, topi keledar yang dipakai oleh Safar diketuk dengan kuat
sehingga menyebabkan Safar hampir terjatuh. Namun Safar tetapkan tekad
untuk terus sampai ke rumah. Dipulasnya pendikit beberapa kali untuk
melajukan motorsikalnya.
Sehinggalah sampai ke satu simpang sunyi selepas plaza tol di Shah Alam
Safar memberhentikan motorsikalnya.
Safar yang sudah keletihan dengan apa yang berlaku telah menjadi marah.
“Apa nak jadi pun jadilah” Safar berkata kepada dirinya sendiri seraya
mendongak keatas.
Hatinya lega kerana sangkaannya meleset. Tiada apa yang ada diatas
kepalanya, hanyalah langit gelap tidak berbintang. Sekali lagi keadaan
sunyi menyeliputi malam. Tiada kenderaan di sekitarnya, hanya
lampu-lampu malap yang menerangi jalan menjadi saksi kaku akan
gelagatnya.
Safar melihat jam tangannya, sudahpun pukul 12:00 malam.
Sekali lagi Safar memulas pendikit motorsikalnya, dan meluncur kembali
ke jalan raya. Tiba-tiba, sesusuk tubuh wanita berpakaian putih muncul
dihadapan motorsikal Safar.
Safar cuba mengelak tetapi motorsikalnnya gagal dikawal. Safar jatuh
berguling dan akhirnya terlentang dibahu jalan. Dia cuba untuk bangun
tetapi gagal. Seluruh tubuh badannya seolah-oleh kebas dan tidak
bermaya.
Darah pekat mengalir dari dalam topi keledar terus membasahi bajunya.
Dalam samar-samar Safar dapat melihat tubuh seorang wanita tua yang
berjalan terjengket-jengket menghampirinya. Walaupun samar-samar, jelas
kelihatan rambut wanita tua itu yang panjang mengurai sehingga keparas
pinggang.
Safar hanya mampu mengerang kesakitan.
Tiada satu kenderaan pun yang lalu di kawasan tersebut. Wanita tua itu
pula semakin lama semakin hampir. Bau busuk seakan-akan muncul serta
merta dengan kehadiran wanita tua itu disisi Safar.
Safar yang sedang terbaring hanya mampu berdoa di dalam hati agar
dirinya tidak diapa-apakan. Wanita tua itu dengan kasar merentap topi
keledar Safar hingga tertanggal, dia kemudian mendekatkan mukanya kepada
Safar.
Dengan suara yang amat garau dan menyeramkan dia berkata:
“Kenapa kau ambil makanan aku? Kau timbus pula. Sekarang kau jadi galang
gantinya”
Tiada siapa yang dapat mendengar jeritan Safar pada malam itu. Tiada
siapa yang dapat melihat kengerian yang berlaku keatas seorang anak muda
yang tidak berdosa. Apa yang pasti, seorang lagi insan telah menjadi
mangsa kepada malam yang penuh dengan misteri dan rahsia.