Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan kerajaan PAS Kelantan menggunakan
khidmat pemotong daging untuk melaksanakan hukuman hudud.
Presidennya,
Datuk Dr NKS Tharmaseelan, berkata petugas perubatan yang bertauliah
sendiri tidak sanggup untuk melakukan perkara sedemikian.
"Prosedur
(potong tangan) sangat rumit. Jika doktor tidak tergamak melakukannya
maka anda perlu cari tukang potong daging," katanya
Pihak MMA tidak akan campur tangan jika ada mana-mana pihak tidak bertauliah melakukan prosedur pembedahan terbabit.
"Kalau
ada yang buat kita tidak boleh buat apa-apa cuma boleh buat laporan
polis mengatakan individu itu tidak mendapat pentauliahan yang sah,"
katanya.
Tharmaseelan
berkata, pihak MMA tidak akan bekerjasama dengan kerajaan PAS Kelantan
untuk melaksanakan undang-undang syariah di negeri tersebut.
Katanya,
doktor dan jururawat bertauliah terikat di bawah bidang kuasa
Kementerian Kesihatan dan tidak perlu patuh kepada arahan kerajaan
negeri.
"Semua
hospital di Kelantan hanya menerima arahan daripada Kementerian
Kesihatan kerana gaji mereka dibayar oleh kerajaan pusat," katanya.
Tharmaseelan
berkata, MMA akan mengambil tindakan saman dan membatalkan kelayakan
tauliah jika mendapati ada doktor yang melakukan perkara tersebut.
Beliau
berkata, MMA juga sedang mengkaji untuk meminda undang-undang bagi
membolehkan pihak yang tidak ada tauliah perubatan dikenakan tindakan
undang-undang yang tegas kerana melanggar etika perubatan.
Kelmarin,
Kelantan merancang menggunakan khidmat pakar bedah untuk memotong
tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kanun
Jenayah Syariah (2) 1993 sekiranya undang-undang Islam itu mula
dikuatkuasakan tahun depan.
Pengerusi
Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah berkata, apabila selesai hukuman tersebut pesalah terbabit
sudah boleh pulang ke rumah tanpa perlu menjalani sebarang hukuman lain
seperti penjara atau sebaliknya.
Bagaimanapun,
katanya, pertimbangan akan diambil sebelum dijatuhkan hukuman sekiranya
pesalah mencuri atas sebab tertentu seperti lapar atau terpaksa.
"Hukum
hudud ini agak berbeza di mana pesalah yang dipotong tangan khususnya
untuk kesalahan mencuri itu dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama
keluarga dan kerajaan juga tidak akan menanggung apa-apa kos penjagaan
tahanan di dalam penjara," katanya dipetik daripada laporan Utusan
Malaysia.