Jika kita dipukul berulang kali serta disimbah dengan air panas tanpa
rasa belas kasihan, pastinya kita akan bertindak balas memukul balik
pelaku dan paling tidak pun melarikan diri.
Bagaimana pula jika perbuatan sama dilakukan ke atas seorang kanak-kanak
berusia baru enam tahun yang tidak mampu membalas balik, sebaliknya
hanya mampu merayu.
Bayangkan pula apakah kesakitan yang ditanggung si kecil apabila
pelakunya bukan penjenayah tetapi ibu kandung dan bapa tirinya sendiri
di dalam rumahnya sendiri yang dirasakan tempat paling selamat baginya.
Itulah derita dan kesakitan yang ditanggung oleh Allahyarham Mohammad
Akhil Mustaqim Rashidy, 6, yang didera ibu kandung dan bapa tirinya
sendiri tanpa sekelumit pun belas kasihan.
Lebih perit kesakitan dan derita saat pukulan demi pukulan singgah di
kulit si kecil terpaksa ditahan sehingga saat dia menghembuskan nafasnya
yang terakhir.
“Mak, adik tak buat dah.. sakit,” itulah raungan terakhir Mohammad Akhil sebelum pergi selama-selamanya.
Bayangkan apabila panggilan “mak” bukan lagi sebagai mengharapkan kasih
sayang tetapi ia adalah panggilan merayu meminta belas supaya si emak
berhenti memukulnya.
Menurut sumber yang enggan dikenali, mangsa dibawa ke Hospital Ampang dalam keadaan cedera parah.
“Mana tidaknya, kaki kirinya patah, seluruh badan lebam dan melecur, ada
kesan baru dan lama,” katanya memetik laporan akhbar Harian Metro.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah
berkata hasil siasatan awal dilakukan pegawai penyiasat mendapati suspek
utama kes berkenaan adalah bapa tiri mangsa.
“Ibunya yang berusia 31 tahun dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.
“Sama ada dia diugut ataupun turut dipukul suaminya itu juga menjadi
satu aspek siasatan, tetapi sehingga kini kita percaya kita percaya ibu
mangsa bersubahat,” katanya.
Sementara itu, jiran Allahyarham Mohammad Akhil yang hanya mahu dikenali
sebagai Maria, 40, mangsa dan keluarganya baru berpindah ke kawasan
perumahan itu empat bulan lalu.
Sejak berpindah, Maria sering mendengar anak-anak pasangan itu termasuk mangsa menangis akibat dipukul.
“Petang Ahad lalu, saya mendengar suara mangsa meraung kesakitan lebih satu jam akibat dipukul emaknya tanpa henti,” katanya.
Kanak-kanak itu dibawa bapa tiri mangsa ke hospital pada pukul 2 petang
semalam sebelum disahkan meninggal dunia selepas empat jam menjalani
rawatan.
Bapa tiri mangsa yang ‘durjana’ itu kemudiannya menghilangkan diri selepas menghantar mangsa ke hospital.
Menurut Maria lagi, kakak kepada mangsa yang masih bersekolah rendah turut menjadi mangsa dera oleh ibu bapanya.
Moga pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan mereka yang
bertanggungjawab dihadapakan ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman
setimpal.