BERSALAH...Adrian
dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi
hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.
KOTA KINABALU: "Sepatutnya tugas kamu sebagai guru
ialah mendidik, tetapi apa yang kamu lakukan ini menjejaskan profesion
perguruan," kata Hakim Duncan Sikidol sebelum menjatuhkan hukuman 36
tahun penjara dan empat sebatan ke atas bekas guru, Adrian Simon, 31,
yang didapati bersalah merogol seorang murid warga Singapura.
Adrian didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan merogol murid berusia 11 tahun itu di sekolah berkenaan pada Februari dan Mac lalu.
Bagi tuduhan pertama, guru Matematik dan Sains itu dihukum penjara 18 tahun dan dua sebatan kerana merogol murid berkenaan di stor makmal sekolah antara jam 2.10 hingga 3.30 petang pada Februari lalu.
Bagi tuduhan
kedua, Adrian dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di makmal
jam 10.25 pagi pada 26 Mac lalu dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun
serta dua sebatan.
Adrian dituduh
melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun
Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan
jika sabit kesalahan.
Pendakwaan
dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Luke Ressa Balang manakala tertuduh
diwakili Hairul Othman dan PJ Perira bertindak sebagai peguam pemerhati
bagi pihak keluarga mangsa.
Terdahulu,
Hairul memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya
berdasarkan kerjasama diberikan kepada polis selain tiada rekod
kesalahan lampau.
Bagaimanapun,
permohonan itu dibantah Luke dengan alasan tertuduh tidak seharusnya
melakukan jenayah yang menjatuhkan kredibiliti perguruan.
“Sebagai guru,
tertuduh bertanggungjawab mendidik murid, bukannya melakukan kesalahan
jenayah. Kita harus memikirkan tekanan dihadapi mangsa dan keluarga,”
katanya.
Ketika
penghakimannya, Duncan mengakui walaupun kekurangan bukti daripada aspek
perubatan, keterangan mangsa meyakinkan mahkamah untuk menjatuhkan
hukuman.
“Selepas
menimbangkan semua bahan bukti, saya mendapati pihak pendakwa berjaya
membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati
bersalah.
"Mahkamah
bersetuju dengan pihak pendakwaan, ibu bapa sudah memberi kepercayaan
kepada tertuduh menjaga muridnya, tetapi kepercayaan itu disalahguna
dengan mengambil kesempatan terhadap mangsa,” katanya.
Sepanjang
perbicaraan selama tiga hari bermula 6 September lalu, pihak pendakwaan
mengemukakan sembilan saksi, termasuk guru dan murid sekelas mangsa
manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi.
Mahkamah
mengarahkan hukuman berjalan serentak menyebabkan tertuduh hanya perlu
menjalani hukuman 18 tahun, tetapi membenarkan tarikh hukuman
ditangguhkan sementara Adrian memohon rayuan di Mahkamah Tinggi.