Dicekik hingga mati di Penarik, Terengganu sebelum mayatnya dibawa sejauh 450 kilometer hingga ke Cyberjaya, Selangor.
Mayat itu kemudian dicampak ke dalam kawasan belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti.
Itu sebenarnya yang berlaku kepada
Rosshida Abdullah, 30, juruwang restoran yang mayatnya ditemui oleh
orang awam pada Rabu lalu.
Suspek yang dipercayai tunang
mangsa dikatakan tekad melakukan perbuatan itu kerana cemburu dengan
kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk
Abdul Rahim Jaafar yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa bersama
suspek ketika itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di
Kelantan dari ibu negara.
“Namun, dalam perjalanan
kedua-dua mereka dipercayai bertengkar mengenai orang ketiga dan menuduh
mangsa keluar dengan lelaki lain sehingga suspek mencekik mangsa
sehingga mati di satu kawasan dekat Penarik, Terengganu.
“Disebabkan mangsa telah
meninggal dunia, suspek mengambil keputusan berpatah balik dari Penarik
ke ibu negara, namun setibanya di Cyberjaya, suspek mencampakkan mayat
mangsa dari jambatan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa
Program Kayuhan Pencegahan Jenayah bersama Timbalan Ketua Polis Selangor
di Saujana Utama, di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, sepanjang
perjalanan tersebut suspek hanya menutup muka mangsa yang duduk di
bahagian penumpang hadapan itu dengan selimut.
Rabu lalu, mayat Rosshida ditemui
orang ramai dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian di bawah jambatan
di Cyberjaya kira-kira pukul 5 petang.
Turut ditemui bersama mayat ialah
beg tangan, kad pengenalan dan sekeping nota bertaip yang antara lain
menceritakan masalah dihadapi termasuk tekanan kerana diburu along
akibat berhutang sebanyak RM50,000.
No comments:
Post a Comment