Lambakan filem-filem tempatan yang kurang kualiti di pasaran sudah lama
menjadi isu tetapi masih ramai tidak menghiraukan perihal isu-isu
keagamaan yang dipandang sebelah mata sahaja oleh penggiat seni hiburan
tanah air. Ikuti kupasan menarik yang dikongsikan portal akhbar Utusan Online mengenai Filem Melayu juga Menghina Islam seperti Filem Hollywood. Benarkah begitu? Jom baca selanjutnya:
DUNIA filem antarabangsa sekali lagi gempar apabila sebuah filem baru, Noah
diterbitkan pada tahun ini. Filem yang mula ditayangkan pada 28 Mac
lalu ini dikatakan telah mencemarkan beberapa agama termasuk Islam.
Filem ini tentang sejarah kehidupan Nabi Nuh yang membina sebuah bahtera
bagi menyelamatkan kaumnya daripada tragedi banjir besar yang melanda
bumi.
Namun banyak pengkritik dari Hollywood menganggap filem tersebut tidak
menghina Nabi Nuh. Alasannya tidak memilemkan keseluruhan kisah Nabi Nuh
tetapi hanya mengadaptasi kisah sejarah tersebut.
Beberapa negara Islam antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan
Bahrain telah mengharamkan filem itu dan terbaru, Indonesia turut
mengikut jejak langkah tiga negara terbabit melarang tayangannya di
negara tersebut.
Poster iklan gergasi filem Noah yang menimbulkan kekecohan pelbagai negara |
Ini bukan pertama kali industri filem Barat sengaja melemparkan
provokasi dan kontroversi melalui penghasilan beberapa filem yang
menyentuh kesucian agama Islam.
Awal tahun lalu filem Son of The God turut memaparkan perkara yang sama.
Beberapa tahun lalu pula filem Bruce Almighty juga memperlihatkan
perkara yang sama. Filem lakonan Jim Carrey itu telah menerima kritikan
hebat daripada masyarakat Kristian sendiri kerana mempersendakan
kepercayaan mereka.
Barangkali kita boleh faham kenapa filem sedemikian dibuat kerana
pembuatnya bukan Islam dan bukan diterbitkan oleh negara Islam.
Tetapi kita tidak faham apabila sebahagian besar filem yang dihasilkan
di negara ini juga menghina Islam. Sebahgaian besar filem kita bukan
sahaja tidak mengangkat cara hidup Islam malah menghina dengan
mempromosi gaya hidup yang bertentangan dengan Islam.
Penghinaan yang dimaksudkan adalah dari segi pelanggaran norma-norma
Islam pada paparannya. Yang peliknya filem begini dihasilkan oleh orang
Melayu Islam.
Mereka mempromosi atau dengan lain perkataan mempersenda Islam dalam adegan, naratif dan kesimpulan filem tersebut.
Kalau pengarah Barat menghasilkan filem yang mencemarkan Islam, itu
bukan suatu yang luar biasa. Tetapi bagaimana dengan pengarah Islam
sendiri yang tidak menjunjung cara hidup Islam menerusi filem mereka?
Kebanyakan filem Melayu ketika ini dilihat begitu bebas melanggar etika
dan cara hidup Islam. Mereka seolah-olah diberi kebebasan kononnya akhir
cerita filem itu menyeru kepada kebaikan.
Tetapi sebelum bertemu dengan kebaikan, filem Melayu seolah-olah
diwajarkan untuk memperendahkan lelaki dan wanita Islam yang menjadi
pelakon. Mereka boleh melakonkan adegan rogol atau seks yang begitu
terperinci sekali.
Kalau kita teliti secara mendalam, hampir keseluruhan filem Melayu
memaparkan gaya hidup Barat, remaja berpeleseran dan terlibat dalam seks
bebas. Semua ini dipaparkan tanpa rasa bersalah malah menyalahkan orang
lain yang menganggap itu sebagai salah.
Kerana itu kita tidak terkejut apabila pengarah kita gemar memaparkan adegan dalam bilik tidur atau pusat hiburan yang liar.
Para pengarah kita dilihat tidak kisah memparkan babak di atas katil,
berpelukan dan bermacam lagi aksi kononnya ingin menunjuk realiti babak
terbabit.
Bukan itu sahaja, banyak juga babak serta aksi rogol yang dipaparkan
secara sensual dengan gerak kamera menyorok aksi itu sejelas yang
mungkin.
Padahal adegan rogol tidak perlu dipaparkan kerana banyak lagi teknik
termasuk perlambangan boleh digunakan untuk memberitahu penonton tentang
adegan itu.
Salah satu babak filem tempatan menunjukkan aksi di dalam tandas |
Terbaru filem arahan Ismail Yaacob, Laga boleh dijadikan satu kajian
kes. Babak intim pelakonnya Marsha dan Wan Hanafi Su disifatkan oleh
pengarah sabagai babak bagi mendidik penonton. Tetapi cara adegan itu
dihasilkan bercanggah dengan etika Islam dalam pergaulan lelaki dan
wanita.
Ada juga penonton yang menganggap lakonan Marsha dalam babak tersebut
adalah yang terbaik dan mengubah geografi filem Malaysia ke arah filem
antarabangsa. Inilah kesan daripada pembudayaan pemikiran yang dilakukan
oleh filem tempatan yang mempromosikan gaya hidup Barat.
Persoalannya, sekiranya babak tersebut tidak dilakukan, adakah filem ini
akan cacat? Dan sekiranya babak tersebut sememangnya dibuang daripada
skrip asal adakah jalan ceritanya mengenai tradisi pertaruhan laga ayam
tidak sampai kepada penonton?
Jangan anggap kita sebagai orang filem boleh diberi kelonggaran untuk melakukan sesuatu yang melanggar larangan dalam agama.
Dalam filem Iran, perkara-perkara yang mencemarkan Islam tidak ada dalam
filem mereka. Tidakkah pengarah-pengarah kita tidak berasa malu dengan
Iran yang boleh menghasilkan filem bertaraf dunia tanpa “mempersendakan"
agama?
Walaupun tidak ‘menjual’ susuk tubuh pelakon wanita, industri filem Iran
diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tetapi industri filem kita yang
“menelanjangkan" banyak pelakon wanita dengan babak ranjang masih lagi
berada di takuk lama malahan semakin merudum.