Pages

Wednesday, 4 February 2015

Luahan Rasa Isteri Ini Amat Menyentuh Hati

SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
Bait lirik lagu nyanyian P.Ramlee yang sentiasa jadi siulan ramai ini jelas mempunyai makna yang cukup mendalam.
Siapa yang tidak pernah diuji dengan pergaduhan, perselisihan faham dan sebagainya dalam perhubungan lagi-lagi setelah mempunyai ikatan suami isteri.
Namun luahan hati seorang isteri yang dikenali sebagai Siti ini mengenai cinta, kasih sayang, kehilangan dan ujian Ilahi amat menyentuh hati kami.
Ia seolah-olah memberi pengajaran dan peringatan buat semua yang bergelar suami dan isteri agar menghargai masa yang diberikan Tuhan ketika mengecapi kebahagiaan hidup berkeluarga.
Semoga ianya bermanfaat buat semua.
fathia-e1422002194218
Luahan Siti di laman Facebooknya:
“Setelah hampir 4 tahun mendirikan rumah tangga, kami selalu bergaduh. Itulah saya dengan suami. Selalu ada yang tidak kena sedangkan hati kami saling mencintai satu sama lain. Dia terlalu sibuk di tempat kerja sehinggakan saya rasa dia tidak mencintai saya lagi, sedangkan sebenarnya dia berusaha keras untuk memberi saya dan anak makan pakai yang sempurna. Saya seolah-olah tidak memahami peranan dan tanggungjawab seorang suami dan ayah yang amat berat dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
Tanggal 4 November 2014, jam 11.30 tengahari adalah tarikh di mana Tuhan ingin membuka mata saya tentang erti kehilangan dan mengajar saya erti bersyukur. Saat inilah saat yang paling saya tidak boleh lupakan hingga kini. Ia merentap jiwa dan sanubari saya. Suami telah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta Myvi ketika bekerja. Suami yang menunggang motosikal pada ketika itu telah berlanggar dengan Myvi berkenaan dan tercampak jauh jatuh ke jalanraya di USJ 1. Suami saya mengalami luka pada siku, retak tulang lengan dan bahunya juga terkeluar dari soket.

Ketika menerima berita kemalangan berkenaan, lemah lutut saya rasakan. Saya tidak pernah membayangkan perkara sebegitu terjadi kepada suami yang saya cintai. Tuhan sahaja yang mengerti perasaan saya pada ketika itu. Saya rasa dunia gelap dan terhenti. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana ingin meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi saya pada ketika itu.
Saya rasa amat bersyukur kepada Tuhan kerana suami masih hidup pada hari ini walaupun terpaksa menjalani sesi fisioterapi secara berkala di Hospital Sungai Buloh. Kini saya mengerti apa rasanya bila kita kehilangan seseorang yang kita sayangi dan cintai walaupun kehilangan itu tidak terjadi kepada keluarga kami.

Kemalangan itu memberikan kesan yang mendalam pada diri saya dan suami. Saya lebih menghargai setiap detik bersama suami dan anak. Suami juga begitu. Saya lihat kini dia cuba untuk meluangkan masa bersama kami ketika ada masa terluang walaupun saya tahu dia amat letih setelah pulang dari tempat kerja. Kemalangan itu juga benar-benar menyatukan kami kembali. Ia adalah teguran yang saya kira datangnya daripada Tuhan untuk kami memperbaiki diri dan tetap teguh dalam rasa cinta sebuah keluarga bahagia.”

No comments:

Post a Comment