Kalau sebelum ini, kita ada membaca kisah kejayaan Datuk Vida dan Dato'
Aliff TerlajakLaris, kini Mawar pula berkongsi kisah kejayaannya di
dalam perniagaan tudung.
Mula melibatkan diri di dalam bidang fotografi seawal umur 15 tahun
ternyata memberi kelebihan buat dirinya untuk bergelar model
tudung. Bakat dalam bidang peragaan dimanfaat sepenuhnya apabila
dilantik duta tudung Fareeda oleh ibunya sendiri.
"Saya masih ingat, pada pertengahan tahun 2006 ibu mula
berjinak-jinak menjahit tudung di rumah kami yang terletak di Permatang
Pauh, Pulau Pinang.
Pada mulanya ibu memulakan perniagaan menjahit tudung yang ditempah kawan-kawan dan saudara mara.
Saya masih ingat, saya jadi model tudung ibu sendiri kerana kawan saya dari Pulau Pinang tidak dapat datang sesi fotografi.
Saya terpaksa jadi model dan Alhamdulillah, pengalaman belajar
mengenai fotografi menyebabkan saya tidak bermasalah untuk bergaya
hadapan kamera."
Menurut Mawar lagi, dia terpaksa memikirkan dan menggunakan pelbagai
kaedah bagi meningkatkan jualan tudung Fareeda agar lebih dikenali.
"Saya bukan dilahirkan terus senang, apa yang kami kecapi sekarang adalah hasil usaha daripada keperitan masa lalu.
Bukan senang berada di tahap ini, pelbagai rintangan terpaksa
dihadapi. Walaupun mempunyai butik sendiri, saya turun padang jual
sendiri tudung Fareeda di Kompleks PKNS Shah Alam.
Saya sendiri bawa barang dan stok tudung kerana pekerja tidak cukup.
Saya pernah jual tudung di pasar raya Giant Seksyen 13, Shah Alam."
Kisah kejayaan usahawan melayu seperti Mawar ini wajar untuk dikongsikan
agar menjadi sumber inspirasi kepada orang lain agar berjaya di dalam
perniagaan yang diceburi.