Pages

Sunday 22 March 2015

Ustaz Kazim Elias buat pendedahan disihir 4 kali kerana berdakwah

Meskipun tidak lagi muncul dalam program televisyen selepas ini, bukan bermakna susuk tubuh bernama Mohd Kazim Elias ini luntur semangatnya dalam berdakwah.
Mohd Kazim atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim sebaliknya berkata, beliau akan terus menyebarkan ilmu ALLAH ini dengan cara ‘low profile’ kepada seluruh masyarakat Islam.
Bercakap kepada Sinar Online, Ustaz Kazim berkata, jika tidak mampu berhadapan dengan rintangan sebagai pendakwah, sudah lama beliau bersara, namun itu bukan pilihannya.
“Alhamdulillah saya sudah berdakwah lebih kurang 24 tahun, saya pernah melalui pelbagai ranjau dan duri dalam berdakwah. Saya pernah disihir empat kali dan pernah dibedah sebab sihir apabila dibedah doktor kata tidak menjumpai ‘penyakit’ itu, namun saya terus berdakwah.

“Namun kini, saya rasa pendekatan saya mungkin perlu berubah, biarlah saya memberi peluang kepada pendakwah muka baharu untuk berceramah,” luahnya.
Berbicara lanjut Ustaz Kazim berkata, selain pernah ditipu bayaran beliau juga acapkali difitnah.
“Saya pernah diberi cek tendang, dan sudah banyak kali akaun palsu FB dibuat untuk menjatuhkan saya. Tetapi saya terus sabar. Sekarang saya fikir sudah tiba masanya saya ‘menghentikan’ semua itu, jadi saya pilih tidak perlulah lagi saya muncul di kaca televisyen, cukuplah sekadar saya berceramah di tempat awam hanya apabila ada orang panggil,” tuturnya.
Namun begitu ujarnya, peminat masih boleh menontonnya di kaca televisyen menerusi rancangan “Kalau Dah Jodoh” di Astro Oasis, rancangan “Bismillah” terbitan TV3 dan satu lagi di rancangan “Kopi Bersama Ustaz Kazim” di TV9.
“Hanya itu sahaja, saya juga sudah batalkan 10 program yang melibatkan saya,” katanya.
Kelmarin, Kazim membuat keputusan menarik diri daripada muncul dalam mana-mana program ceramah di kaca televisyen menerusi Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Batu Kurau yang disiarkan secara langsung melalui siaran RTM1.
Bagaimanapun beliau akan meneruskan ceramah bagi rancangan yang telah dipersetujui secara hitam putih termasuk program ‘Kalau Dah Jodoh’ yang kini masih berbaki 10 episod.
Sumber : Beritamalaysia

No comments:

Post a Comment