Islam
mengharamkan melakukan hubungan seks antara suami dan isteri ketika
waktu haid. Hukum ini telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala didalam firman
Nya yang bermaksud: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad),
mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu adalah kotoran dan
mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri
dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang
darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh)
sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka
datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada
kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,
dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah
Al-Baqarah 2:222)Didalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w banyak memperkatakan
hal ini, diantaranya sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa
yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di
saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan
mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan
ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)
Imam Al Ghazali
merumuskan hukum ini di dalam Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Janganlah
suami menyetubuhi isteri yang sedang haid dan juga jangan sesudah haid
sebelum si isteri menyempurnakan mandi wajib terlebih dahulu, kerana
yang demikian itu diharamkan dengan dalil Al-Quran.“
Kajian Mengenai Bahaya Seks Ketika Haid |
Melakukan
hubungan seks ketika haid mempunyai banyak risiko, menurut kajian yang
dijalankan oleh Dr. Diana Antoniskis (MD) dari Kumpulan Penyelidikan dan
Pendidikan (The Research And Education Group) yang beribu pejabat di
Oregon, dalam artikel yang bertajuk Women With HIV Infection, risiko
jangkitan kuman HIV meningkat di kalangan wanita yang mengadakan
hubungan seks ketika haid ataupun dengan lelaki yang tidak
berkhatan.Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease
Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan kesebelas
Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di
New Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995
melaporkan, menjauhi hubungan seks ketika haid ataupun ketika mengalami
pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko
dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita.
Laporan itu
juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid
meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda.
Persetubuhan pada waktu haid juga boleh mengakibatkan pendarahan yang
teruk ke atas wanita. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler
dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester
Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal,
yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami
masalah pendarahan yang teruk daripada biasa.
Kebiasaannya
kes-kes seperti ini akhirnya terpaksa menjalani pembedahan berisiko
tinggi untuk membuang rahim atau hysterectomy dan ovari atau
ovariectomy. Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Psychosomatic
Obstetrics and Gynaecology pada tahun 1996. Bagi golongan wanita, tiub
fallopian dan ovari mereka boleh diserang kuman bakteria sehingga
menyebabkan keputihan, sakit dan demam yang kuat.
Risiko untuk
menghidap penyakit ini adalah tinggi di kalangan mereka yang melakukan
hubungan seks ketika haid. Hal ini disebabkan, kebiasaannya tiub
fallopian dan ovari dilindungi daripada serangan bakteria oleh bahan
asid yang terdapat di kawasan faraj atau vagina.
Ketika wanita
itu didalam keadaan haid, kawasan faraj menjadi alkali justeru
memudahkan kuman untuk membiak dan mendatangkan penyakit terutamanya
apabila berlaku persetubuhan pada waktu itu.
Oleh yang
demikian, hukum pengharaman persetubuhan ketika haid oleh agama Islam
adalah amat baik kerana ia mendatangkan banyak manfaat dari sudut
kesihatan. Walaubagaimanapun Islam tidak melarang diantara suami isteri
bergurau senda dan bergaul mesra semasa haid, asalkan perbuatan itu
tidak membawa kepada persetubuhan.
Menurut Hadith
yang diriwayatkan oleh Bukhari, Aisyah pernah ditanya oleh Masruq bin
Ajdak, “Apakah yang boleh dilakukan oleh suami semasa isterinya sedang
dalam keadaan haid?” Lalu Aisyah menjawab, “Apa-apa sahaja kecuali
bersetubuh.” (Hadith Sahih Bukhari)
Wallahu’alam….