MERLIMAU - Seorang pelanggan terkejut apabila lauk makanan tengah harinya di sebuah gerai makan di medan selera pekan Merlimau terdapat telur lalat.
Wan Ahmad Wan Ali, 29, berkata, dia bersama isterinya ke gerai makan layan diri berkenaan dan mengambil seekor ikan keli sambal, namun selepas makan baru mereka menyedari ikan tersebut telah dicemari telur lalat.
“Ketika nak bayar, saya beritahu kepada pekerja gerai makan itu yang juga warga Indonesia terdapat telur lalat.
“Tapi kesal pekerja itu langsung tidak meminta maaf dan hanya menjawab tak apa sebelum membawa pinggan terus ke dapur,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa namun berharap peniaga dan pelanggan lebih berhati-hati memandangkan di medan terbabit lauk pauk dibiarkan terdedah.
“Bukan satu kedai sahaja malah beberapa gerai yang menyediakan masakan tengah hari juga membiarkan masakan di atas meja tanpa bertutup.
“Majlis Perbandaran Jasin perlu memantau dan memastikan peniaga menitik beratkan aspek kebersihan,” katanya.