KUALA LUMPUR: Lebih 20 motosikal tergelincir dan tiga kereta terbabas selepas melanggar pembahagi jalan kerana permukaan jalan yang licin berikutan tumpahan minyak diesel sepanjang satu kilometer di Jalan Duta di sini hari ini.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, tumpahan minyak itu berlaku apabila sebuah lori tangki minyak tiga tan bocor dan melalui sepanjang jalan itu jam 2.20 petang tadi.
"Kesemua mereka mengalami kecederaan ringan, namun dilaporkan stabil. Sebelas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas terlibat dalam operasi berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagi tujuan pembersihan jalan itu, laluan menghala ke Jalan Duta dari Pusat Bandaraya dan Batu Caves ditutup sehingga kerja-kerja membersih jalan itu selesai malam ini. - Bernama