Waktu Sesuai Untuk Hubungan Seks Selepas Isteri Bersalin | ISTERI saya baru bersalin. Bilakah masa sesuai untuk melakukan kembali hubungan intim suami isteri? Ada pendapat mengatakan selepas 100 hari baru boleh bersama isteri.
SUAMI INGIN TAHU
Johor
JAWAPAN
SELEPAS melahirkan anak, salur reproduktif wanita akan menjalani proses pemulihan. Tisu yang melecet dan radang akan beransur pulih. Jahitan dalaman mengambil masa lebih kurang tiga minggu untuk pulih dan jahitan luar pula antara 7-14 hari untuk pulih.
Jika wanita itu menjalani prosedur pembedahan Caesarean untuk melahirkan anak, pemulihan luka melebihi tiga minggu. Tidak hairan jika purata angka 100 hari diberi sebagai waktu pantang sebelum isteri boleh melakukan semula hubungan seks.
Bagaimanapun, wanita disyorkan menjalani pemeriksaan fizikal dan kesihatan seksual enam minggu lepas bersalin untuk doktor pastikan anggota reproduktifnya pulih dan parut kulit tidak radang sebelum doktor memberi kata putus, sama ada suami isteri boleh melakukan hubungan seks.
Ketika doktor melakukan pemeriksaan lepas bersalin, pasangan boleh meminta doktor menjelaskan perancangan keluarga dan hubungan seks ringan jika isteri sihat.
Mungkin sebelum seks penetratif dilakukan, pasangan boleh mencuba seks tanpa penetrasi dengan rangsangan luaran.
Apabila semua percubaan itu berjaya dan selesa, mungkin cara biasa seperti kedudukan suami di atas boleh dilakukan dan mengikut keselesaan isteri. Untuk enam bulan pertama, memang hubungan seks menjadi cabaran untuk kedua-dua pihak.
(Sumber Harian Metro)