Rampas Suami - Hanez Suraya Tarik Diri
PETALING JAYA: Pelakon Hanez Suraya telah membuat keputusan untuk tidak
menyambung kontraknya sebagai duta produk kecantikan Aura White
gara-gara kontroversi percintaannya dengan suami orang.
Bagaimanapun pelakon itu tidak pernah digugurkan sebagaimana
diperkatakan segelintir pihak sebelum ini. Pegawai pemasaran produk itu,
Nurul Lina memberitahu, Hanez sendiri yang telah memohon untuk
menghabiskan baki kontrak enam bulan yang diikat sejak Disember lalu
tanpa mahu memperbaharuinya.
Dia tidak digugurkan. Hanez sendiri memberitahu kami adalah lebih elok
sekiranya dia mengundur diri. Kami faham dengan situasinya.
Lagipun sehingga kini perhubungan antara pihak kami dengan Hanez sangat
baik. Dia pun tidak pernah memberi masalah kerana dia seorang yang
sangat berdisiplin, katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada
Selasa.
Sebuah akhbar pada Selasa menerusi ruangan pojok melaporkan Hanez Suraya
tidak akan menyambung kontrak dengan produk kecantikan Aura White
gara-gara kontroversi dia bercinta dengan suami orang selain turut
mempunyai masalah disiplin.
Gara-gara kontroversi itu juga, Aura White dilaporkan turut terkena
tempias apabila jualan produk itu terus jatuh merudum. Dalam pada itu
Nurul berkata produk itu menjadi lebih popular dan jualan semakin
meningkat selepas kontroversi berkenaan. Hanez yang dihubungi mStar
Online pula enggan memberi komen berhubung hal berkenaan.
Sementara itu, pelakon baharu, Amyra Rosli pula dikatakan akan
menggantikan Hanez sebagai duta produk berkenaan memandangkan wanita itu
menepati ciri-ciri penuh sebagai duta Aura White.
sumber