SELEPAS Qatar, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengharamkan tayangan filem Noah, Malaysia turut membuat keputusan sama.
Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul
Hamid dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas filem
itu memaparkan jalan cerita berasaskan kepada kisah hidup Nabi Nuh AS.
"LPF memutuskan sebarang lakonan yang memaparkan ilustrasi atau wajah
para Nabi dan Rasul adalah bertentangan dengan Garis Panduan Penapisan
Filem Kementerian Dalam Negeri dan selaras dengan Garis Panduan
Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang
dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Berdasarkan jalan cerita dan adegan filem tersebut yang mengandungi
elemen-elemen tersebut maka, filem Noah ini tidak dibenarkan untuk
ditayangkan di negara ini. Ia juga bertujuan menjaga sensitiviti dan
keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan
agama," ujarnya.
Beliau menambah, filem arahan Darren Aronofsky telah dikemukakan kepada
LPF untuk penapisan pada 7 Mac lalu. Filem yang turut dibintangi oleh
Anthony Hopkins dan Emma Watson ditayangkan di Amerika Syarikat pada 28
Mac lalu.
Surah Nuh dalam al-Quran menceritakan mengenai kisah Nabi Nuh membina
bahtera bagi menyelamatkan umatnya dan beberapa haiwan dari banjir besar
namun, ahli keluarga Nabi Nuh (AS) yang enggan mengikuti ajarannya
mati. Bagaimanapun kisah Nabi Nuh juga diceritakan dalam Injil.
Sudah jangka-Crowe
Filem fantasi diinsipirasikan daripada ajaran kitab Bible bernilai
RM427 juta itu dibintangi Russel Crowe sebagai Noah bersama pelakon lain
seperti Jennifer Connelly, Anthony Hopkins dan Emma Watson dan pada
asasnya berkisar mengenai kisah Bahtera Noah.
Crowe menerusi temu bual bersama The Telegraph berkata, Noah bukan
kisah teladan agama Kristian yang sering disampaikan kepada kanak-kanak
dan ia akan mencabar pemahaman penonton mengenai Bible.
“Secara jujur, memandangkan terdapat perkara dalam agama Islam yang
menyebabkan anda tidak boleh membuat cerita atau mempersembahkan imej
mengenai nabi, sudah dijangka beberapa negara Islam akan mengharamkan
filem itu,” katanya.
Malah, institusi terkenal Islam di Mesir, Al-Azhar kelmarin turut mengeluarkan fatwa yang mengharamkan filem itu.
“Al-Azhar memperbaharui bantahannya terhadap apa-apa perbuatan yang
menggambarkan rasul dan nabi ALLAH dan para sahabat Nabi Muhammad SAW.
"Penerbitan seumpama itu bertentangan dengan kedudukan tinggi seorang
nabi dan utusan, serta memberi kesan kepada undang-undang Islam. Ia juga
memprovokasi emosi umat Islam," kata institusi itu dalam satu kenyataan
sebelum ini.
sumber