Ibubapa, Tolong Jangan Lakukan Perkara Ini Jika Tidak Mahu Hantar Anak Ke “Gigi Neraka” | Apabila anak sulung saya menyuarakan kesedihannya kerana saya tidak membelikan beliau smartphone dan tidak membenarkan beliau menggunakan duit simpanannya bagi membeli sendiri, dengan alasan susah berhubung dan berbincang dengan rakan-rakan sebab semua menggunakan Whatsapp, saya kira beliau juga sudah cukup bersedia untuk saya jelaskan sebabnya.
Pada pandangan saya, ibu bapa yang memberi anak-anak smartphone pada usia 12 tahun, dengan kemudahan data, mereka telah mengambil langkah yang sangat salah.
Saya tanya anak saya tadi, “Yop rasa, kawan-kawan Yop, jika dalam telefon mereka keluar video perempuan telanjang, gambar lelaki perempuan telanjang, rasanya kawan-kawan Yop akan delete dan elak tengok, atau bagaimana?”
Anak saya tak boleh jawab.
Dan saya tanya lagi, jika dia sendiri adakah jiwanya cukup kuat untuk mengelak bahan lucah, judi atas talian, game atas talian, beliau menggelengkan kepala.
“Kalau Yop terjebak dengan benda-benda ni, Abi tak mampu tolong Yop sampai bila-bila. Yop akan berdosa setiap hari sampai dewasa, sampai mati. Abi tak nak Yop fikir Abi ni kolot, mengongkong, kedekut, I do this simply because I love you and I want to protect you”
Saya tidak berani mengaku yang saya ini techno savvy. Tetapi saya tidak buta teknologi. Saya mengendalikan website era pra blog semenjak 1997, menggunakan Palm VI seawal 1998 hingga ke era Samsung Galaxy S4 pada tahun 2013 dan iPad Air pada tahun 2014. Saya sentiasa mengikuti perkembangan ICT biar pun hanya bertaraf pengguna. Saya sentiasa pastikan diri saya pengguna celik. Bukan guna tetapi tidak sedar akan implikasi penggunaannya kepada fizikal, kognitif, emosi, sosial dan keberagamaan anak-anak kita. Saya berkongsi pesanan ini bukanlah sebagai ustaz cabuk pengguna telefon cap ayam.
Cukuplah dengan keterlanjuran kita membuka akaun Facebook untuk anak-anak sekolah rendah dengan menipu Zuckerberg akan tarikh lahir mereka. Ada sebab kanak-kanak di bawah usia 13 tahun dianggap belum wajar mempunyai akaun Facebook. Tetapi dengan memberi smartphone bersama peruntukan data, ibu bapa sesungguhnya menghantar anak-anak ke gigi NERAKA.
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu, dan ahli keluargamu daripada Neraka. Ia dikawal oleh para Malaikat yang amat ganas dan keras, malah tidak sama sekali mengingkari Allah berkenaan apa yang diperintahkan ke atas mereka melakukannya” [al-Tahrim 66: 6]
Ibu bapa yang mencucuh putung rokok ke tubuh anak dan seterika anak dengan seterika panas, kita kata mereka berhati binatang dan kejam. Tidak kejamkah ibu bapa yang memudahkan jalan anaknya dibakar api Neraka? Mendedahkan anak kepada ketagihan pornografi, games, kebusukan bahasa dan kecelaan akhlaq? Keselamatan, penjenayah siber, pedophile?
Jangan over confident wahai daddy and mommy. Seriously, have a mercy upon your kids but saving them from the Hellfire.
Harap penjelasan sambil makan sushi tadi membantu dan beliau boleh terima.
Di dalam catatan ini saya mahu menekankan tentang peer pressure. Jika ibu bapa faham sekali pun, anak-anak belum tentu faham. Mereka perlu difahamkan. Kepada ibu bapa yang sangat baik hati bagi anak umur 12 tahun smartphone sendiri, tolonglah fikir balik.
Baca buku Technopoly oleh Neil Postman.
Seriously!