Pages

Showing posts with label ustaz. Show all posts
Showing posts with label ustaz. Show all posts

Tuesday, 8 July 2014

Beri Teguran Artis Bertudung - Ustaz Kazim Elias

“Alhamdulillah… bagus ramai artis yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang cukup”






“Jangan hari ini beritahu sudah berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu,” katanya kepada mStar Online.













Penceramah selebriti terkenal, Ustaz Kazim Elias menasihati artis-artis berhijrah iaitu mereka yang berhijab agar tidak sekadar tampil dengan pertukaran imej semata-mata tetapi hendaklah mendalami ilmu agama Islam secukupnya.





Ustaz Kazim atau nama sebenarnya Mohammad Kazim Elias, 42, berkata, perkara itu sebenarnya satu petanda yang baik kerana golongan berkenaan adalah ikon kepada peminat.





Tambah Ustaz Kazim, jika golongan berkenaan tidak mempunyai ilmu yang cukup, ia dibimbangi akan meninggalkan kesan sekiranya sesuatu kenyataan yang dibuat akan memakan diri sendiri.





Jelasnya lagi, artis yang berhijrah sepatutnya mempelajari ilmu agama Islam daripada guru bertauliah agar perubahan yang dilakukan menjadi lebih sempurna selain ia dilakukan kerana Allah.





Via-RotiKaya

View the original article here

Friday, 18 April 2014

Ustaz Don muat naik video jelas kekeliruan ( 2 video )


KUALA LUMPUR: Ustaz Don Daniyal telah memuat naik video bagi menjawab video viral yang tersebar melalui laman sosial sejak minggu lalu.

Beberapa blog turut menyiarkan petikan daripada penjelasan Ustaz Don.

Dalam video itu, beliau menjelaskan beberapa perkara yang dianggap penting seperti motif penyebaran video tersebut.

Beliau juga mempertikaikan tujuan video video yang bertajuk Kompilasi Hadis Palsu Dan Penyelewengan Don Daniyal dibuat dan disebarkan melalui media sosial itu.

Petikan penjelasan Ustaz Dom daripada beberapa blog sebagaimana berikut:

Tuan-tuan tidak bagi orang rujuk wikipedia, youtube apa semua untuk nak ambik hujah tapi dengan hanya video sekerat, tuan-tuan jadikan hujah ke atas saya.

Yang pembuat video sekerat-kerat ini, kita tau dah yang ini propaganda, tapi kita juga boleh terjebak.

Tuan-tuan tidak rujuk, tanya pada saya pun dan in fact, tuan-tuan takdak pun dalam majlis tu, wallahualam, tapi macam orang cakap macam adalah.

Kalaulah video macam ni boleh mengganggu gugat kita, hubungan baik kita, kawan-kawan, boleh jadi macam ni, berhati-hati lah tuan-tuan. Senang sangat orang nak bagi putus silaturahim.

Kalau ada benda tak puas hati, mai cakap depan-depan.

video jawapan ustaz don


video kontroversi


sumber

Wednesday, 16 April 2014

Surat terbuka buat Ustaz Don kini tersebar

Bismillahirrahmanirrahim. Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Salaam a'laikum warah matullahi wabarakatuh.

Ke hadapan Ostad Don Daniyal yang dihormati, moga anda dan keluarga berada di bawah lembayung kasih sayang dan rahmatNya, InshaAllah.

Wahai Ostad,

Baru-baru ini seantero Tanah Melayu gempar dengan dua dakwaan anda:

 1. Bani Tamim itu merujuk kepada Tanah Melayu
 2. Fatwa Syaikh Ali Jumaah tentang halalnya darah ikhwan itu benar

Saya tidak mahu mengulas panjang perkara nombor satu itu, memandangkan sudah ramai cerdik pandai dan tokoh-tokoh agama menegur dan mengkritik anda untuk itu. InshaAllah saya yakin ostad dapat menerima teguran-teguran yang dilontarkan dengan baik dan berlapang dada. Cuma saya masih ternanti-nanti sekiranya ada video atau rakaman suara anda yang meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu. Sekiranya ada, bolehlah sesiapa letak pautannya pada ruangan komen post ini.



Wahai Ostad,

Tujuan surat ini ditulis adalah untuk bertabayyun dengan anda, sepertimana yang diseru oleh anda sendiri. Secara spesifiknya tentang dakwaan anda yang nombor dua itu.

Untuk rekod, jujur saya sendiri tidak mendengar dan melihat video TiubAnda yang sudah menjadi viral itu. Saya hanya berkesempatan untuk menonton video balas anda, yang menjawab kritikan dan teguran orang ramai tentang dakwaan anda yang sungguh liar itu. Itu pon tak sempat nak habis. Maka tulisan ini banyak berdasarkan komen-komen dan tulisan yang saya baca di alam maya, juga borak-borak dan cakap-cakap mereka yang pernah menonton video itu dengan mata kepala mereka sendiri.

Oleh sebab itu, saya mohon maaf awal-awal, andai ada perkara-perkara yang disebutkan di sini tidak tepat dan tersasar daripada apa yang anda maksudkan. Untuk mengelakkan kontroversi dan daripada berlaku tidak adil kepada anda, apa yang akan saya tuliskan akan bersifat lebih umum dan meluas. Harapnya begitulah.

Wahai Ostad,

Sebelum itu, ingin saya jelaskan di sini, betapa saya amat menghormati anda. Anda merupaka figur agama yang amat diminati masyarakat. Anda sentiasa menjadi rujukan dan ikutan masyarakat dek besarnya pengaruh anda dalam kalangan mereka.

Malah saya sendiri pernah mendengar ceramah anda secara langsung suatu ketika dahulu. Jujur, saya amat terhibur dan kagum dengan perkongsian yang anda berikan. Apatah lagi anda berceramah ketika itu dengan memakai kot sepasang, lengkap dengan cermin mata hitam. Fuh. Anda adalah manifestasi bahawa untuk menjadi seorang ostad, tidak semestinya perlu sentiasa memakai serban dan jubah. Dengan pendekatan anda ini, anda telah berjaya menarik minat ramai anak muda untuk lebih dekat dan selesa dengan agama. Bukan anak-anak muda sahaja, malah makcik-makcik juga. Eh.

Oleh sebab itu, topi saya untuk anda. Bukan semua tokoh agama berjaya mencapai status dan kejayaan seperti yang anda kecapi sekarang.

Wahai Ostad,

Namun kebenaran tetap kebenaran. Meski pahit, saya wajib menegakkannya. Saya menulis ini dengan penuh sedar bahawa saya mengambil risiko yang besar untuk ditempelak dan dikritik habis-habisan oleh para peminat anda. Saya sanggup mengambil risiko itu.

Mungkin sudah banyak teguran dan kritikan yang ostad terima tentang isu ini. Saya tidaklah berniat untuk menambahkan lagi beban dan keserabutan pada anda. Namun saya merasakan, perlu untuk saya menyuarakan pendapat dan pandangan saya selaku wakil kepada ramai anak muda yang tidak bersetuju dengan kenyataan anda itu. Ok perasan la pulak bila masa kau orang lantik saya jadi wakil kan. Eheh. 

Saya bukanlah apa-apa. Bukan juga siapa-siapa jika hendak dibandingkan dengan anda. Saya hanyalah seorang insan yang masih lagi hingusan dan bertatih untuk menjadi seorang hamba yang diredhaiNya. Saya tiada sijil agama dari mana institusi pengajian. Juga tidak pernah mendapat tauliah untuk memberikan ceramah agama.

Yang saya ada hanyalah ilmu-ilmu yang saya perolehi dari bulatan gembira dan konferens riang yang saya hadiri. Juga kadang-kadang tu adalah bertalaqqi ilmu dengan seorang dua ostad yang saya kenali. Dan sudah tentu, banyak juga ilmu dan pengetahuan yang saya perolehi daripada bacaan-bacaan yang saya lakukan. Selain itu, saya bukanlah seorang tokoh agama pada pandangan mata masyarakat.

Namun itu tidak bermakna saya tidak berhak untuk menyuarakan rasa hati dan pendapat saya. Apatah lagi dakwaan dan tuduhan anda itu amat berat dan dekat dengan diri saya.

Wahai Ostad,

Dengan bersetuju malah menyokong fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Ali Jumaah yang menghalalkan darah ikhwan dan sesiapa sahaja yang menentang kerajaan di Mesir, anda telah membuat suatu kesilapan yang besar. Sebagai seorang figur yang berpengaruh dalam masyarakat, anda telah memberi isyarat bahawa darah seorang Muslim itu halal apabila dia menentang kerajaan yang memerintah.

Entahlah, mungkin ada hadith-hadith atau ayat-ayat al-Quran yang membenarkan hal tersebut, tetapi jika mahu diikutkan dengan ilmu saya yang seciput ini, hasil daripada pembacaan yang saya tidak seberapa ini, darah seorang Muslim itu amat tinggi nilainya di sisi Allah, malah lebih bernilai lagi daripada Kaabah di Mekah itu! 

"...bahawa barangsiapa membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana berbuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh semua manusia."

[al-Ma'idah, 5:32]

Sedangkan nyawa bukan Islam pon diangkat martabatnya oleh Islam, apakan lagi nyawa kita sesama Muslim.

"Ketika itu kami berada di tempat ibadah bukan Islam, lalu dilalukan di hadapan kami jenazah bukan Islam. Maka kami berdiri. Dikatakan kepada kami bahawa itu ialah mayat seorang majusi. Maka kami berkata kepadanya, “Sesungguhnya pernah dilalukan di hadapan Nabi SAW seorang jenazah bukan Islam, lalu Nabi SAW berdiri. Dikatakan kepada Nabi SAW bahawa itu adalah jenazah Yahudi, maka baginda berkata kepadanya, “Bukankah ianya juga adalah insan yang bernyawa."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim] 

Wahai Ostad,

Kalaupon benar ikhwan dan mereka yang menentang kerajaan itu adalah golongan bughah, takkanlah bunuh itu adalah satu-satunya solusi yang ada? Adakah darah dan nyawa saudara sesama Islam itu begitu rendah harganya, hanya kerana mahu menegakkan sebuah kerajaan yang zalim?

Dan jika benar Syaikh Ali Jumaah itu seorang ulama' yang adil dan mulia, mengapa dia tidak mengeluarkan fatwa yang sama ketika puak-puak tamarrud merancang makar-makar untuk menjatuhkan Presiden Mursi..?? 

Maaf, tapi saya langsung tidak boleh menerimanya apabila hujah anda untuk menyokong hujah Ali Jumaah adalah kerana dia pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan kononnya, baginda lah yang mengarahkan agar dilakukan pembantaian kejam dan zalim terhadap penyokong Mursi dan penentang kerajaan al-Sisi. 

Aduhai Ostadku. 

Agaknya sebab itulah, pengasas Ikhwanul Muslimin, Almarhum Imam Hassan al-Banna datang dengan Usul 20nya, di mana pada Usul 3, dinyatakan dengan jelas:

"Iman yang benar, ibadah yang sahih dan mujahadah mengandungi cahaya dan kemanisan yang diberikan Allah ke daalam hati hambaNya yang dikehendaki. Namun ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah dalil hukum syarak dan tidak diambil kira kecuali jika tidak bercanggah dengan hukum-hukum dan nas-nas agama."

Usul ini amatlah relevan kerana rupa-rupanya di zaman ini, memang wujud ramai golongan yang mendakwa bermimpi itu dan ini untuk menjustifikasikan tindakan atau rancangan mereka yang terang tang tang menyalahi syarak! Menggunakan hujah mimpi untuk kepentingan diri sendiri!

Lahawla wala quwwata illa billahil 'alliyil adzim.

Dr. Asri Zainul Abidin juga telah menjawab isu ini di dalam penulisannya. Anda bolehlah membacanya di sini. 

Tak cukup dengan Dr. Asri, Syaikh Yusuf al-Qardhawi juga pernah menempelak fatwa Ali Jumaah itu. Kritikan Syaikh Yusuf Qardhawi, seorang ulama' kontemporari ulung di era moden ini terhadap kecurangan Syaikh Ali Jumaah boleh dibaca di sini.

Wahai Ostad,

Berkaitan dengan isu salafi dan wahhabi ini, saya mahu bertanya kepada anda. Jika benar lah ahli ikhwan itu ramainya terdiri daripada golongan salafi dan wahhabi, mengapa di Mesir itu mereka tidak sertai sahaja parti Salafi an-Nur, yang sememangnya sudah terang lagi bersuluh merupakan jemaah dan perkumpulan golongan Salafi? 

Adakah mereka itu musuh dalam selimut, api dalam sekam, gunting dalam lipatan dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin? Sungguh, saya tidak dapat mengotakkan fakta itu.

Lucu sekali apabila difikirkan, selama ini geng-geng salafi sering menuduh ikhwan sebagai ahli bidaah. Di satu pihak pula, geng-geng tarikat sufi menuduh ikhwan sebagai salafi dan wahhabi. Yang untung siapa? Musuh-musuh Islam yang menyaksikan perbalahan sesama Muslim ini dengan penuh riang gembira dan keterujaan sambil makan popkon panas perisa karamel masin.

Saya hanya mampu menggeleng kepala.

Wahai Ostad,

Poinnya adalah, anda adalah seorang figur yang disegani oleh ramai orang dan sebahagian besar daripada masyarakat di Malaysia ini. Anda bertanggungjawab dengan apa yang anda katakan, apatah lagi apabila ia memberi pengaruh yang besar kepada sudut pandang dan perspektif mereka.

Dengan mengatakan ikhwan itu wahhabi, anda secara efektifnya juga telah melabel semua orang yang menyertai bulatan gembira (Baca: Usrah) itu juga wahhabi. Itu adalah satu tuduhan berat yang tidak boleh diterima akal. Dan disebabkan oleh anda yang cukup berpengaruh itu, tidak mustahil sekiranya ada orang yang akan lari dan menolak ajakan-ajakan untuk menyertai bulatan gembira kerana takut dilabel sebagai salafi dan wahhabi. Aduhai.

Oleh sebab itu saya katakan di awalan tadi, tuduhan/dakwaan anda itu amat berat dan sangat dekat dengan saya dan saya yakin, berat dan dekat juga dengan ramai lagi orang di luar sana. 

Anda menyeru agar asatizah dan ramai orang di luar sana untuk bertabayyun dengan anda. Bagaimana pula sikap anda dengan ikhwan? Apa mereka tidak layak untuk mendapat tabbayun daripada anda? Adakah anda sudah meneliti fakta-fakta yang ada, membuat kajian dengan terperincinya, sebelum membuat tuduhan yang semberono yang sebegitu rupa?

Wahai Ostad,

Izinkan saya menutup penulisan ini dengan sepotong hadith:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam."

[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Harapnya anda dapat menerima teguran ini dengan baik dan berlapang dada. Tidaklah ada niat lain saya menulis ini melainkan sebab rasa hormat dan kasih saya kepada anda fillah. 

Moga anda dapat merenungi kembali dakwaan dan kata-kata anda yang menimbulkan kontroversi itu. Dan sekiranya perlu, saya amat berharap anda dapat menarik kembali kenyataan anda itu dan membuat permohonan maaf kerana sungguh, anda telah mengguris banyak hati dan perasaan di luar sana. 

Dan sekiranya saya telah mengguris hati atau perasaan anda atau keluarga, saya memohon maaf sesungguhnya. Bukan untuk mencari populariti. Bukan juga untuk mendamba publisiti. Cuma saya tahu ramai yang tidak bersetuju dengan pendapat anda yang satu ini dan saya merasakan perlu untuk saya menyampaikannya.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya, anda dan kita semua, biidznillah.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Inche gabbana
Angel Pakai Gucci 


Nota kaki berkematu : Surat ini bukanlah ditujukan pada Ostad Don sangat pon. Jika dia baca, alhamdulillah. Jika tidak pon, alhamdulillah.

Nama pon surat terbuka. Mungkin ramai dalam kalangan kita yang kurang faham konsep surat terbuka. 

Penulisan ini lebih ditujukan kepada anda semua di luar sana, bagi meluruskan salah faham yang mungkin timbul sebagai kesan langsung daripada video Ostad Don itu. Sebab saya tahu, peminat Ostad Don sangat ramai. Maka sangat tidak adil sekiranya mereka hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja. 

Video itu dibuat secara terbuka dan disebarkan kepada umum. Arakian surat ini juga bersifat terbuka dan sesiapa sahaja boleh membacanya. Tiada serangan peribadi terhadap Ostad Don dan tidak pula saya memburuk-burukkannya. Tidak timbul soal saya perlu menghantar surat ini secara peribadi kepadanya.

Allahu ta'ala a'lam. Saya terus meraikan dan menghargai sebarang kritikan dan teguran. Tegurlah saya, agar hati saya tidak mati.

Moga Allah redha. Kerana akhirnya, itulah saya yang kejar, itulah yang saya damba. 

Aman, tanpa perang

sumber