Sekitar tahun 1999, kita digemparkan dengan tindakan ratu dangdut
negara, Amelina yang tiba-tiba menghilangkan diri dunia hiburan tempatan
sehingga menyebabkan irama dangdut semakin down.
Begitupun, Amelina kemudian memunculkan diri bulan lalu di sidang media
dengan memberitahu bersedia untuk membuat comeback dalam industri muzik
tempatan.
Misteri kehilangan penyanyi Amelina dalam dunia hiburan akhirnya
terjawab apabila mengakui perkahwinannya sekitar 1999 menjadi punca dia
meninggalkan bidang nyanyian.
Bagaimanapun penyanyi dangdut yang
popular sekitar 90an itu enggan mendedahkan lebih lanjut pengalaman yang
disifatkannya sebagai 'pembunuh' kerjaya seninya itu.
"Saya
akui berkahwin adalah antara alasan saya meninggalkan dunia nyanyian
dulu. Tetapi kembali aktif selepas 15 tahun, saya lebih selesa untuk
membiarkan ia menjadi satu kisah peribadi yang tidak dikongsi dengan
sesiapa.
"Namun untuk saya terus hidup dalam kisah silam adalah
sesuatu yang 'membunuh' secara perlahan. Justeru saya kuatkan hati,
bulatkan tekad dan lupakan segala kisah itu untuk terus hidup dan
memandang ke depan," katanya menerusi kenyataan media kepada mStar Online pada Khamis.
Amelina
kini tampil bernaung di bawah Wake The Baby Records Sdn Bhd dan bakal
menghasilkan single yang bakal menjadi pengenalan kepada kemunculan
semula penyanyi itu.
Enggan mendedahkan lanjut mengenai kisah
perkahwinannya yang terus menjadi tanda tanya, Amelina yang mesra
dipanggil Alin hanya selesa berkongsi tentang kebahagiaannya dengan enam
cahaya mata yang menjadi pembakar semangat untuk kembali aktif di
bidang nyanyian.

Menurutnya, perasaan rindu untuk kembali memegang mikrofon dan
merakamkan lagu terlalu tinggi hingga memaksa untuknya nekad melupakan
apa saja alasannya mengenai 'kehilangannya' sebelum ini.
"Semua
yang pernah berlaku sebelum ini adalah satu proses kehidupan yang
banyak mengajar saya menjadi individu yang jauh lebih tabah, kuat dan
bersemangat.
"Kehilangan saya adalah sesuatu yang begitu peribadi
untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi cukup jika saya katakan ia
pengalaman yang tak mungkin saya lupakan," katanya.
Mengulas mengenai gambarnya yang dimuat naik di laman sosial, kononnya
Amelina sudah bertudung, penyanyi yang popular dengan lagu Rindu, Asyik
danSeri Langkat itu akhirnya menjelaskan kedudukan sebenar.
"Jujur
saya katakan yang semua itu hanya spekulasi kerana saya belum lagi
bertudung penuh. Namun saya akui gambar itu adalah saya yang mengenakan
tudung ketika itu.
"Saya terpaksa mengenakan tudung bagi mengelak orang ramaimengenali saya.
“Saya
tidak yakin dan malu untuk muncul di khalayak ramai lebih-lebih lagi
dengan mana-mana pihak mengenali saya. Tapi sekarang adalah masa paling
sesuai untuk saya muncul dengan penampilan baharu selepas menyusun dan
merencana langkah dengan teratur,” katanya.