Jangkaan mengenai personaliti wanita ini yang kurang peramah agak tersasar jauh.
Ditambah pula
dalam gemerlapan populariti yang dilimpahinya bukan sedikit, Datuk Seri
Dr. Hasmiza Othman melangkaui apa yang disangkakan pada awal pertemuan.
Sebelum ini,
nama wanita berusia 43 tahun ini asyik disebut-sebut. Gara-gara melabur
RM3 juta untuk menaja Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), impak
produknya,
Qu Puteh
menjadi fenomena yang luar biasa. Hasmiza yang popular dengan gelaran
Datuk Vida itu tidak dapat lari daripada menjadi kutukan segelintir
masyarakat apabila dia dituduh gila glamor apabila mengiklan diri dan
produknya secara berlebihan ketika siaran langsung AJL29.
Apatah lagi
dengan tanggapan suka menunjukkan kemewahan barang kemas dan baju mahal,
Ketua Pegawai Eksekutif, Vida Beauty Sdn. Bhd. ibarat tidak bernyawa
apabila diserang dari kanan dan kiri.
"Memang susah
buat saya kerana gaya hidup saya sangat bertentangan dengan anggapan
orang ramai dan apa yang mereka lihat di kaca tv.
"Saya
sebenarnya seorang yang sederhana di rumah dan di pejabat. Saya bukan
suka sangat nak pakai baju manik merlip dan muncul dengan penampilan
sebegitu.
"Semuanya saya
lakukan kerana identiti untuk produk saya dipromosi. Saya kena ada
kelainan penampilan, baru orang ingat jenama produk saya," katanya
tersenyum manis.
Kata ibu kepada
empat anak ini, dia sebenarnya tidak kisah untuk membeli apa jua barang
walaupun tidak berjenama asalkan ia nampak cantik dan sedap mata
memandang.
"Saya juga
jenis tidak kisah makan di mana-mana. Gerai bawah pokok saya pergi
hari-hari kalau sudah sedap. Pernah saya ketagih sangat dengan nasi
vanggey.
"Buat apa nak
malu. Saya pun tidak obses dengan kereta sport mewah. Cukup sebuah
kereta yang selesa untuk saya berjalan jauh dan dapat berehat dan tidur
sekejap," katanya bersungguh-sungguh dalam nada yang penuh teruja ketika
ditemui ibu pejabat Vida Beauty di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Menyambung
perbualan yang semakin rancak, Hasmiza memberitahu kesukaran hidupnya
melalui pelbagai pahit getir untuk berada pada tahap hari ini
mengajarnya untuk tidak meninggi diri.
Wanita
kelahiran Machang, Kelantan ini jujur mengakui dia lahir dalam keluarga
berada sebelum menjadi anak yatim pada usia sembilan tahun kerana
kematian bapa.
"Saya dan ibu
hilang punca rezeki ketika itu secara tiba-tiba. Jadi bermula dari situ,
saya mengenal apa itu bisnes. Asal yang boleh dapat wang saku, saya
buat.
"Saya pernah
jual nasi lemak orang, untung dapat 30 sen. Saya bersyukur sangat duit
itu saya lama-lama kumpul dapat beli motosikal.
"Ini kerana
saya selalu fikir saya bila hendak sekolah naik bas ketika di sekolah
menengah waktu itu," katanya yang bersemangat bercerita tentang kisah
zaman persekolahannya.
Jelasnya, lebih
menyedihkan apabila ibunya terpaksa menjual sebidang tanah untuk
menyara kos perbelanjaannya di Universiti Sains Malaysia.
Kata anak
tunggal dalam keluarga itu, harga tanah itu dijual pada harga RM13,000
dan hari ini harga tanah itu melambung kepada RM150,000.
"Tapi baru
tahun pertama saya sudah habis RM5,000. Bayar yuran, beli buku dan sara
kos sara hidup. Jadi saya mula berfikir kena cari duit saku.
"Saya mula jual
macam-macam kepada pensyarah dan kakitangan universiti. Saya bawa kain
telekung, batik dan macam-macam barang lagi dari Kelantan.
"Pernah waktu
cuti semester, saya pergi kerja kilang selain kerja sambilan di restoran
segera, Kentucky Fried Chicken," katanya yang tidak malu untuk mencari
duit bagi menampung kos pelajarannya.
Sebagai
pemegang Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah),
Hasmiza turut tampil berkongsi pengalaman menjadi guru di sekolah Cina
selama 12 tahun di Ipoh, Perak.
"Orang cakap
kalau jadi cikgu tidak boleh meniaga, saya gelisah waktu itu. Saya
memang boleh demam kalau tidak berniaga. Jadi tahun pertama jadi guru,
saya sambung buat Sarjana dahulu sebelum meneruskan pengajian Doktor
Falsafah secara jarak jauh," katanya rancak bercerita.
Seterusnya,
akibat jiwanya memberontak mencuba karier yang lebih mencabar, Hasmiza
memilih perniagaan salon sebagai destinasi kerjaya pilihan.
Dari situlah dia mula membuat pelbagai produk kecantikan bagi memenuhi keperluan pelanggan di salon bagi rawatan wajah.
Apatah lagi,
ketika itu kira-kira 15 tahun yang lalu, gelombang produk kecantikan
dari luar mendapat permintaan tinggi menyebabkan dia berani menghasilkan
produk kecantikan sendiri secara kecilan.
Seterusnya,
rezeki berpihak kepada dirinya apabila mula mengorak langkah panjang
dalam kariernya dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis Latihan
Vokasional Kebangsaan (MVLK).
Mendapat wang tertunggak sebanyak RM500,000, dia memberani diri membeli iklan untuk mempromosi produknya itu.
Namun akhirnya akibat salah mengiklan, dia mengalami kerugian besar apabila produk langsung tidak mendapat sambutan.
"Rasanya sudah
berjuta saya rugi akibat menaja dan buat iklan yang tidak menjadi. Sebab
itu bila saya nak taja AJL29 dan Gegar Vaganza, saya sudah tekad,
stesen tv kena ikut cara saya.
"Saya yang bagi
idea semua sebab saya sudah belajar dari kesilapan lalu. Biasanya saya
berdoa tidak kira waktu dan tempat sebanyak 20 kali sehari. Tapi waktu
taja AJL29, saya berdoa lebih 50 kali. Saya reda dan tawakal.
"Dan
Alhamdulillah, iklan saya menjadi dan jadi sebutan ramai. Permintaan dan
jualan melonjak hari-hari sampai saya kehabisan stok dan terpaksa
mengagihkan produk kepada stokis secara kuota," katanya serius.
Vida Beauty
kini memiliki lebih 400 stokis di seluruh negara termasuk di Brunei dan
Singapura dengan menggajikan kakitangan seramai 130 orang.
Tujuh tahun lalu, bisnes Hasmiza melonjak tinggi gara-gara keberanian memperkenakan minuman kesihatan di bawah jenama Pamoga.
Produk yang
menjadi fenomena itu membolehkan dia berubah sekelip mata menjadi
jutawan sehingga mampu membina Wisma Vida Beauty yang tersergam indah
dan mewah di bandar Ipoh.
Apabila ditanya
hasil di sebalik semua kejayaan itu, wajah wanita yang nampak tegas
namun peramah itu tiba-tiba menjadi sangat ceria.
Katanya, dia
gembira dan bersyukur kerana dapat membantu masyarakat yang mengalami
masalah kesihatan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
"Sebanyak 98
peratus testimoni Pamoga kembali pulih seperti biasa dan yang buat saya
gembira, apabila mereka dapat kembali bersolat dengan sempurna dan ada
yang tidak perlu dijaga lagi oleh anak-anak setelah sakit sekian lama.
"Selain itu,
saya juga mahu kejayaan di dunia dan akhirat. Berkongsi rezeki dengan
mereka yang kurang berkemampuan, itu yang lebih memberi kepuasan,"
katanya yang malu-malu bercerita tentang sekolah pondok miliknya selain
kesanggupannya menaja beberapa rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.
Emosi sedih Hamza semakin larut apabila diminta berkongsi kenangan pahit sepanjang 15 tahun bergelar usahawan berjaya.
Wanita ini
berkata, kehidupannya bagaikan musnah apabila hilang dua anak yang
meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat pada 5 Ogos
2013.
Lebih menyayat
hati, dua anaknya Eddie Zuhdi, 11, dan Edrie Zikri, 10, pergi mengadap
Ilahi pada 25 Ramadan, lima hari sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal.
Dua lagi
anaknya, Edlin Zamilin dan Eric Zaquan yang kini berusia 10 dan lapan
tahun menjadi penyeri hidupnya untuk mengusung sisa duka yang belum
hilang ke hari ini.
Bercerita mengenai arwah dua puteranya itu, naluri keibuan wanita ini cukup terserlah.
"Dua arwah anak
saya itu hendak sangat berjumpa malam lailatulqatur dan selalu doa nak
masuk syurga tertinggi. Saya menangis 40 hari dan bertahlil di ruang
tempat mereka tidur.
"Namun saya
sudah ada isyarat sebelum kejadian itu kerana suka bermurung. Bila saya
terima berita, saya cuma terdiam dan reda. Ada orang cakap ini saham
untuk saya di akhirat nanti," katanya sayu.katanya sayu.
Di akhir wawancara ini, nada suara Hasmiza kembali serius apabila dia berkongsi pengalaman bergelar ibu tunggal.
Berkahwin kali
ketiga pada Oktober tahun lalu, jelas ada gerimis yang bertandang di
wajah wanita ini biarpun bibir sentiasa menguntum senyuman.
Kurang selesa
bercerita hal peribadi, barangkali ramai yang tidak tahu Hasmiza
bergelar ibu tunggal selama lapan tahun sebelum berkahwin kali kedua
Januari tahun lalu.
Derita yang dia tidak tahu kepada siapa boleh diluahkan apabila diceraikan selepas tiga bulan mengecapi alam perkahwinan.
Barangkali air
mata wanita ini sudah kering untuk ditangisi. Dia sudah puas menanggung
derita sebelum berada di puncak pada hari.
Justeru, kata nista yang dilempar gara-gara menaja AJL29 langsung tidak meninggalkan kudis buat dirinya.
"Saya cuma berharap dapat memberi sumbangan yang cukup kepada mereka yang kurang bernasib baik.
"Kehilangan dua
anak membuatkan saya hendak kaya dan bahagia di dunia dan akhirat.
Itulah yang saya perjuangkan hari ini dalam perniagaan," luahnya yang
melengkapkan pandangan sebagai seorang wanita yang istimewa di mata
saya.
- MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment