Menonton Filem Lucah Oleh Suami Isteri SOALAN :
Assalamualaikum
uztaz.saya nak bertanya mengenai mengajak isteri menonton filem lucah
untuk tujuan mempelajari tentang cara-cara melakukan seks.ini kerana
isteri saya tidak begitu pandai melakukan seks dan untuk meransangkan
nafsunya dulu sebelum melakukan hubungan kelamin.apa pendapat ustaz?
JAWAPAN :
Wa'alaikumussalam,
Hukumnya haram secara sepakat ulama walaupun niatnya baik. Ia diharamkan kerana :-
Pertama : Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit. Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain"
Sudah
tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon
tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.
Kedua
: Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri
dan begitu juga sebaliknya, sebagaimana displin seks Islam yang
dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan
baginda SAW. ( Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai
adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya,
maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam
filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.
Ketiga : Terdapat cara
lain untuk mempelajarinya, iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam
Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.
Keempat :
Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta
sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam
hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh
Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah tentu diharamkan
juga.
Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama
dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu
displin adab melalui hadith :-
إذا جامع أحدكم أهله فلا يتجرد تجرد العيرين
Ertinya
: "Apa seorang kamu 'bersama' isterinya maka janganlah kamu
bertelanjang bogel ( bermakna perlu berselimut)" ( Riwayat Ibn Majah
1/619 no 1921 )
Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti
berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada
oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan
banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari
filem lucah itu. ( Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)
Kelima :
Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di
dalam filem lucah tersebut. Maka ia jatuh ke dalam perkara haram yang
lain pula.
Keenam : Nabi Melarang menceirtakan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.
Nabi SAW bersabda :
لا تباشر المرأة المرأة فتنعتها لزوجها كأنه ينظر إليها
Ertinya
: janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu
menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya (
Riwayat Al-Bukhari )
Kesimpulannya, diharamkan menggunakan filem lucah samada untuk menaikkan syahwat suami isteri mahupun sebagai pengajian.
sekian
ust zaharuddin