Pages

Friday 12 June 2015

Sekat Redtube, Malaysia Dah Start Tapisan Internet Ke?


15867

DI MANA-MANA negara sekalipun, antara gejala negatif yang terkait dengan dunia Internet adalah kegemaran melayari laman lucah dalam kalangan rakyat.
Tidak terkecuali di negara ini, ramai hampa apabila cubaan untuk masuk ke laman lucah popular Redtube telah disekat oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) sejak 19 Disember lalu.
Walaupun tanpa bermaksud mempertikaikan kewajaran menghalang akses ke laman web porno yang sah-sah memang patut dibuat, terbit persoalan sejak bila pula SKMM dah mula block dan tapis Internet di negara ini?
Sebagaimana kita maklum, sesetengah negara seperti Iran dan China mengamalkan tapisan ke atas Internet hingga menghalang akses ke web tertentu dan laman sosial terutama Facebook.
Namun Malaysia boleh dikira agak longgar dari segi ini apabila sejak zaman Tun Mahathir lagi, rakyat sudah dijanjikan tiada tapisan Internet akan dibuat kerajaan.
Pada September 2008, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi janji sama bahawa kerajaan akan tetap dengan dasar tidak mengenakan sekatan dan penapisan ke atas kandungan Internet dan hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat penyalahgunaan Internet atau perbuatan yang menyalahi undang-undang negara.
”Kita tidak akan sekat Intenet tetapi sekiranya ada yang salah guna dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, kita akan mengambil tindakan,” kata Pak Lah waktu itu.
Dasar tiada tapisan Internet juga diteruskan pada zaman Najib sekarang meskipun Datuk Seri Rais Yatim pada 2009 pernah menimbulkan ‘gempak’ seketika apabila memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan tapisan Internet di Malaysia.
Bagaimanapun ramai yang menarik nafas lega apabila Najib kemudiannya mengumumkan, “Kerajaan tiada sebarang rancangan untuk menapis internet kerana ianya kurang efektif, disamping akan mengakibatkan rakyat di era dunia ICT ini tidak berpuas hati”.
Justeru apabila SKMM mengeluarkan satu pekeliling rasmi pada Jun 2011 bagi mengumumkan sekatan ke atas 10 hos fail terkemuka, ia menimbulkan polemik terutama di kalangan kaki download.
skmm-01
Tindakan diambil kerana laman-laman tersebut didapati melanggar Akta Hak Cipta 1987.
Sejak itu, terdapat banyak lagi laman web yang telah disekat kerana didapati menyalahi pelbagai kesalahan termasuk melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain.
Sehingga penghujung 2013 sahaja, hampir 3,000 laman web telah diambil tindakan demikian oleh SKMM.
Selain melanggar akta hakcipta, kesalahan lain dilakukan laman web hingga ia disekat daripada diakses adalah melanggar Enakmen Jenayah Syariah, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan.
Selain itu, laman web yang menerima nasib sebegitu disebabkan oleh siasatan yang dijalankan selepas menerima aduan daripada  PDRM bagi kes tertentu seperti akaun palsu atau penyamaran, penyalahgunaan maklumat data peribadi, penyebaran ajaran sesat dan ‘love scam’, laman web bank palsu (phishing) dan lucah.
Bagaimanapun, kerancakan sekatan ke atas laman web termasuk Redtube baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya jika ini sebenarnya petanda SKMM telah mula menjalankan tapisan ke atas Internet di Malaysia sekaligus memungkiri janji-janji yang dibuat oleh kerajaan selama ini?
Sudah tentu, jawapan yang diterima daripada SKMM adalah tidak, melainkan laman-laman ini telah melanggar akta atau undang-undang tertentu.
Bagi pengguna Internet di negara ini, besarlah harapan jika janji-janji yang pernah dilafazkan oleh PM Malaysia dari zaman Tun Mahathir sampailah ke pentadbiran Najib sekarang tidak dimungkiri.
Pun begitu pada masa sama, perkuatkan lagi akta yang ada bagi mengekang jenayah siber termasuk penyebaran fitnah yang boleh merosakkan keharmonian negara terutama menerusi laman sosial.  -MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment