Bagi mahasiswa yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 20, sifat ingin
mencuba yang meluap-luap dalam dirinya dan teman lelaki membuatkan dia
tewas kepada hasutan syaitan.
Daripada sekadar suka-suka, dia
menjadi ketagih. Semuanya berlaku seperti kilat dan tanpa dirancang.
Episod hitam hidup Wati bermula ketika umat Islam menyambut Aidilfitri
tahun lalu.
“Saya tak menjangka perkara sebegini boleh berlaku
kepada diri sendiri sebab selama ini saya hanya membaca kisah remaja
terlanjur di akhbar dan majalah.
“Namun, apabila kena pada diri
sendiri, baru saya tahu bagaimana perasaannya dan keperitan yang perlu
ditanggung wanita terlanjur,” katanya yang terpaksa menangguhkan
pengajian satu semester di sebuah IPTA di Melaka.
Menceritakan
pengalaman kali pertama terlanjur, Wati berkata, ketika kejadian dia
menunggu kekasihnya yang dikenali sebagai Kamal, 21, bersiap untuk
beraya di ruang tamu rumah lelaki berkenaan.
Benarlah seperti
dinyatakan dalam al-Quran, apabila berdua-duaan, wujudlah pihak ketiga
iaitu syaitan. Ketiadaan ahli keluarga Kamal seolah-olah membuka ruang
kepada mereka melakukan zina. Meskipun pada awalnya dia takut, namun
akhirnya mereka tewas dengan gelora nafsu.
“Selepas melampiaskan
nafsu, tiba-tiba wujud rasa bersalah dan berdosa terhadap ibu bapa.
Pulang ke rumah, saya hanya mendiamkan diri. Pun begitu, masih belum
timbul keinsafan apabila kami melakukan perbuatan itu untuk kali kedua
seminggu selepas itu di rumah keluarga teman lelaki.
“Selepas
perbuatan kali kedua itulah, saya mengandung. Itu pun hanya disedari
selepas kandungan mencecah usia tiga bulan kerana saya tidak mengalami
alahan atau komplikasi seperti wanita mengandung lain,” katanya.
Semakin
hari kandungan Wati makin membesar dan tidak mampu disorok lagi. Dia
mengalami kemurungan dan mahu menggugurkan kandungan itu, namun dihalang
teman lelakinya yang mahu bertanggungjawab ke atas bayi itu.
“Menyedari
kesilapan dan keterlanjuran dilakukan, saya kemudian menyuarakan hasrat
mahu bernikah segera kepada ibu. Sebelum mengikuti kursus perkahwinan,
ibu panggil saya lalu bertanya mengapa mahu bernikah secara tiba-tiba.
“Saya
menceritakan apa berlaku dan mengaku hamil lima bulan. Ibu sedih lalu
menangis dan kecewa kerana keluarga kami bukan daripada golongan
bermasalah.
“Saya dibesarkan penuh kasih sayang dan menerima
pendidikan agama yang cukup, apatah lagi saya selalu mengingatkan rakan
supaya menjauhi perkara yang dilarang agama,” katanya.
Tanpa
membuang masa, si ibu memberitahu ayah dan anak sulung mereka. Meskipun
kecewa dan marah, mereka masih menerima Wati sebagai ahli keluarga.
“Saya
bersyukur kepada Allah kerana sedar lebih awal dan tidak mengulanginya
semula. Lebih bersyukur apabila teman lelaki mahu bertanggungjawab dan
mengahwini saya selepas tamat belajar kelak,” katanya yang melahirkan
bayi perempuan pada bulan lalu. – My Metro