Seorang remaja lelaki terkejut apabila bekas kekasih yang dihubungi
semula selepas kurang dua jam memutuskan hubungan cinta mereka
menggantung diri di kediamannya di sebuah tanah rancangan Felda di sini,
kelmarin.
Dalam kejadian itu, gadis berkenaan yang berumur 14 tahun ditemui dalam
keadaan tergantung di bilik tidur kediaman keluarganya pada jam 12
tengah hari.
Sumber terdekat dengan keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata,
sebelum kejadian, pada jam 10.30 pagi, remaja lelaki berkenaan ada
menghubungi mangsa dan memutuskan perhubungan cinta mereka.
“Kurang dua jam kemudian, remaja lelaki itu menghubungi mangsa buat kali
kedua untuk berbincang berkaitan beberapa hal peribadi tetapi terkejut
apabila panggilannya dijawab oleh ahli keluarga mangsa yang memaklumkan
gadis berkenaan sudah meninggal dunia.
“Remaja lelaki itu kemudiannya menceritakan apa yang berlaku antaranya
dengan gadis berkenaan sebelum kejadian kepada keluarga mangsa, dia
nyata kesal dengan perkara terbabit,” katanya ketika ditemui di Unit
Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT).
Menurut sumber, mangsa pelajar tingkatan dua di sekolah sama dengan
bekas teman lelaki yang menuntut di tingkatan empat dan kejadian hanya
disedari adik gadis berkenaan yang curiga selepas panggilannya tidak
bersahut.
Sumber berkata, adik mangsa mengintai melalui lubang kunci dan terkejut
mendapati kakaknya terkulai dengan kain batik terjerut pada leher.
Difahamkan, mangsa mungkin tertekan dengan perpisahan yang berlaku, dia
kemudiannya dipercayai mengikat sehelai tuala pada lubang angin di
dinding bilik.
Selepas itu, mangsa mengambil kain batik lantas diikat pada tuala
berkenaan, kemudiannya, kain batik terbabit dijerut pada lehernya
sebelum dia dikatakan terjun dari paras tinggi. Timbalan Pegawai
Pendidikan Daerah Kulaijaya, Mansor Othman dan pengetua sekolah mangsa
turut hadir menziarahi jenazah mangsa, hadir sama Pengerusi Majlis Belia
Felda Negeri Johor, Nanndzri Nasib. Nanndzri berkata, Ia ujian berat
daripada Tuhan dan kita sebagai hamba perlu reda dengannya, kita akan
membantu keluarga mangsa mengikut kesesuaian,” katanya.
Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas kerana kes masih dalam siasatan.