Jika
belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya,
bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak
menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.
Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga
yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka,
Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin
Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja
Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim
disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di
Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai
Lalat.
Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal
bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara.
Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang
muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya
Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz
dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah
Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ
selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian
dihentikan buat seketika.
Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang
alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan
Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’
Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah.
Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara
formal di Ittifaqiyah.
Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi
beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi)
setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945
beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu
hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di
Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis
dan lain-lain.
Ketika di India beliau juga telah berguru dengan
Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana
Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang
pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa
penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke
Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di
Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda
dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran
sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan
perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma
pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.
Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang
diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul
Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat
di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada
sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2
tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.
Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau
menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir
(sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk
bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan
Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.
Pada 1971 beliau dilantik
menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik
Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji
Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS
Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah
bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab
beliau bukan satu tugas yang kecil.
Beliau telah menulis beberapa
buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa
buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.
Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had
Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat
pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau
yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di
mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.
Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau
telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu
lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas
dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat
tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah
dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan
mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan
di pusat pengajian tinggi.
Keistemewaan :
Satu perkara yang
luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962
hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan
malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak
pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan
setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah
kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.
Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia
peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30
Mac 1995.
Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan
rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang,
berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil
perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima
perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik
Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik
Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.
Kehidupan beliau
sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya
tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah
pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab
agama.
Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang
perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke
atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga,
kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.
Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan
kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli
Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal
berturut-turut.
Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah
menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan
yang disampaikannya di Dewan Rakyat.
ALFATIHAH