Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi hari ini memberi
kenyataan dan juga nasihat kepada artis-artis tanah air agar tidak
memperbodohkan diri sendiri dan berfikir dahulu sebelum melakukan
sebarang tindakan kerana secara tidak langsung ia boleh memberi
implikasi buruk terhadap industri seni dan hiburan tanah air.
Menurut Zed, setiap artis harus berhati-hati menerima satu-satu
tawaran mahupun sesi fotografi agar tidak dipergunakan mana-mana pihak.
Sekiranya, satu-satu tawaran itu dirasakan akan memberi implikasi
negatif, artis berkenaan boleh merujuk kepada pihak persatuan.
“Kita sebagai artis janganlah sewenang-wenangnya biarkan diri
diperalatkan oleh mana-mana pihak. Apa saja ‘job’ yang ditawarkan, itu
rezeki masing-masing tetapi hati-hati. Artis juga seharusnya kaji
terlebih dulu misalnya, kalau dituntut untuk melakukan sesuatu, artis
itu harus tahu atas dasar apa dia perlu lakukan perkara itu?”
“Kadang-kadang artis itu sendiri mungkin tidak tahu apa agenda di
sebalik perkara yang mereka perlu lakukan itu. Persatuan ada sediakan
khidmat kaunseling dan mereka boleh rujuk pada persatuan sama ada wajar
atau tidak mereka menerima ‘job’ tersebut”
“Artis itu juga perlu fikir secara rasional, kalau sesuatu perkara
itu tidak baik, janganlah buat. Kalau dia tahu yang dia pakai itu seksi
dan sensitif, janganlah pakai”
“Sebab kalau ianya boleh memberi kesan negatif apatah lagi melibatkan
sensitiviti masyarakat secara tidak langsung ia juga memberi implikasi
yang tidak baik pada industri seni,” katanya mengulas mengenai aksi
berani pelakon Diana Danielle yang mencetuskan kontroversi.
Selain itu dalam masa yang sama, Zed juga menyokong tindakan Diana
yang mengambil tindakan untuk berdiam diri kerana bimbang kenyataan
pelakon tersebut akan dimanipulasi pihak tertentu jika dia membuka mulut
pada situasi sekarang.
“Saya juga berharap yang kontroversi itu menjadi pengajaran dan
contoh kepada artis lain dan janganlah perkara sebegini berulang,”
nasihatnya.
(rtky/syfq)