Walaupun filem pada sebenarnya bertujuan untuk memberi hiburan, namun
terdapat juga sesetengah filem yang memaparkan adegan-adegan yang kurang
menyenangkan atau menyinggung perasaan penonton sehingga menyebabkan
filem tersebut terpaksa diharamkan dari ditayangkan.
Malaysia juga tidak terkecuali dari situasi tersebut, malah pihak
Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga sentiasa memantau dan menapis
filem-filem yang berunsurkan seksual, keganasan, politik atau budaya
sosial sebelum ia ditayangkan.
Berikut merupakan senarai lapan buah filem antarabangsa dan juga tempatan yang diharamkan ditayang di Malaysia.
Fifty Shades of Grey
Filem yang diangkat dari sebuah novel popular 'Fifty Shades of Grey' ini
sememangnya dijangka tidak akan ditayangkan di Malaysia. Bagaimanapun
pengedar filem di Malaysia iaitu United International Pictures (UIP)
pada awalnya berkata filem tersebut akan ditayangkan di Malaysia dan
berita tersebut nyata menggembirakan sesiapa yang membaca novel
tersebut. Kegembiraan itu bagaimanapun tidak lama apabila Lembaga
Penapisan Filem (LPF) mengharamkan filem lakonan Dakota Johnson dan
Jamie Dornan kerana dikatakan terlalu pornografi.
Sex Tape
Filem ini adalah filem kedua berunsur seks yang diharamkan di Malaysia
pada tahun 2014. Rata-rata tidak terkejut dengan pengharaman filem
tersebut kerana judul filem tersebut awal-awal lagi mengisahkan tentang
seks, maka tidak hairanlah ia diharamkan. Walaubagaimanapun, orang ramai
masih boleh menonton filem di Internet.
The Wolf of Wall Street
Filem yang dibintangi pelakon hebat Leonardo DiCaprio ini diharamkan
ditayangkan di Malaysia kerana terdapat kelucahan, babak bogel serta
seks. Selain itu, filem arahan Martin Scorcese ini juga mencipta rekod
penggunaan perkataan lucah 'F**K' paling banyak dalam filem R-rated
iaitu sebanyak 506 kali dalam filem itu atau 2.81 kali seminat. Jadi
tidak hairanlah ia diharamkan di sini.
The Raid 2: Berandal
Jika sebelum ini filem pertama garapan Gareth Evans "The Raid:
Redemption" pernah ditayangkan di Malaysia pada tahun 2011, namun untuk
sekuel kedua ini iaitu "The Raid 2: Berandal" ini diharamkan dari
ditayangkan di Malaysia. Menurut Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF),
filem yang diterajui oleh Iko Uwais ini mempunyai terlalu banyak babak
ganas keterlaluan di dalam filem ini.
Noah
Filem yang memaparkan jalan cerita berasaskan kepada kisah hidup Nabi
Nuh A.S ini mendapat kritikan hebat daripada negara-negara Islam di
dunia berikutan memaparkan ilustrasi atau wajah Nabi Nuh yang
sememangnya bertentangan dengan Garis Panduan Penapisan Filem
Kementerian Dalam Negeri dan selaras dengan Garis Panduan Penapisan
Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Selain Malaysia, beberapa negara di Timur Tengah seperti Qatar, Bahrain,
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan banyak lagi telah mengharamkan tayangan
filem yang dibintangi Russel Crowe, Jennifer Connelly, Anthony Hopkins
dan Emma Watson. Malah institusi terkenal Islam di Mesir, Al-Azhar turut
mengeluarkan fatwa yang mengharamkan filem ini.
I Spit On Your Grave
Filem yang mengisahkan tentang seorang wanita yang membalas dendam
terhadap sekumpulan lelaki yang merogolnya ini bukan sahaja diharamkan
di Malaysia, malah terdapat banyak negara lain yang turut mengharamkan
tayangan filem ini antaranya Singapura, Thailand, China, New Zealand dan
banyak lagi. Ini kerana filem arahan Steven R. Monroe ini didakwa
mengeksploitasi golongan wanita.
Dukun
Filem seram tempatan "Dukun" arahan pengarah hebat Dain Said ini
sememangnya dinanti-nanti oleh ramai pada tahun 2007. "Dukun" merupakan
sebuah filem yang diadaptasi dari kes pembunuhan berprofil tinggi yang
melibatkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa
seorang pengamal ilmu hitam.
Berikutan itu, Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) telah mengharamkan
filem tersebut kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung
perasaan keluarga yang terlibat.
Banglasia
Filem yang diarahkan oleh pengarah kontroversi Namewee ini sepatutnya
ditayangkan di seluruh negara pada 30 Januari 2014, namun filem
"Banglasia" telah diharamkan dari ditayangkan di Malaysia dikecam hebat
oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) dan Kementerian Dalam Negeri
Malaysia (KDN) ketika proses kelulusan filem.
Pihak LPF dan KDN turut memberikan sebanyak 31 catatan rasmi iaitu 90
peratus dari filem tersebut sekaligus mengarahkan filem tersebut membuat
penggambaran semula.
Malah "Banglasia" turut tidak dibenarkan ditayangkan di laman sosial
YouTube atau dijual di pasaran secara sah atau haram dan pihak yang
menayangkan filem ini di rumah ataupun di kawasan awam akan berdepan
tindakan undang-undang.