Ini adalah kisah benar tentang seorang pramugari yang koma semasa berada di tanah suci Mekah
Artikel dari Hj.Mazlan Hj.Nasron. Selama hampir sembilan tahun menetap
di Mekah dan membantu ayah saya menguruskan jemaah haji dan umrah, saya
telah melalui pelbagai pengalaman menarik dan pelik.
Walaubagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an.
Kejadian itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya menguruskan
satu rombongan haji. Ketika itu umur saya baru 20 tahun dan masih
menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kebetulan ketika itu saya
balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.
Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah
Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga saya memang semuanya di Mekah,
cuma saya seorang saja tinggal dengan nenek saya di Perak.
Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa saya, Haji Nasron untuk
menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan saya adalah anak sulung
dalam keluarga.
Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji
di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya
nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik
sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke
Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai
di Madinah.
Tiba di Madinah, semua orang turun daripada bas berkenaan. Turunlah
mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita
terbabit. Tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecah bumi
Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri.
Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan.
“Kakak ni sakit,” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.
Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya, kita bawa dia ke hospital,” kata saya.
Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke
hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu,
jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing. Sampai di
hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai
usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal.
Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma.
Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya
terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan.
Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital
Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut.
Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua
hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas,
maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi
seperti itu.
Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu
dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut
sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya
berbanding hospital Madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak
berhasil. Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah
untuk mengerjakan ibadat haji.
Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai
di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita
tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil.
Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di
hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari
sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya.
Sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya
dengan erat sambil menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut
sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba
menangis?? Saya bertanya kepada wanita tersebut;
“Kenapa kakak menangis?”
“Mazlan.. kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi
benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga.
Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya
itu. Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya mengapa
dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar
oleh kita semua. Katanya ;
“Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang
putih. Tapi kakak silap. Kakak ini cuma Islam pada nama dan keturunan
saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak
puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak buat. Rumah kakak
penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak tendang, kakak
pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.
“Habis yang kakak pergi haji ini?”
“Yalah…kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak pergi.”
“Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang kakak alami semasa koma?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan ;
“Mazlan…Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu,
kakak telah diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala
kesilapan yang telah kakak buat selama ini.
“Betul ke kak?” tanya saya, terkejut.
“Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah
tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan
balasan syurga. Kakak rasa seperti diazab di neraka. Kakak ni seumur
hidup tak pernah pakai tudung.Sebagai balasan, rambut kakak ditarik
dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana
pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun minta maaf kepada Allah.”
“Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit
yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini, putus,
jatuh ke dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya
bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan. Kakak masukkan tangan ke
dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik”, tanpa mempedulikan
pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari.
Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada
hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak
bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya ;
“Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api,
sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula
menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih,
pedih yang amat sangat, tak boleh nak diceritakan.”
Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata
dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu. Saya pula
terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan
Allah kepada umatnya yang ingkar.
“Mazlan…kakak ni nama saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi
dan segala macam dosa besar. Kerana kakak suka makan dan minum apa yang
diharamkan Allah, semasa tidak sedarkan diri itu kakak telah diberi
makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak ada isi pada buah itu
melainkan duri-duri saja. Tapi kakak perlu makan buah-buah itu sebab
kakak betul-betul lapar.”
“Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak
dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut kakak. Sedangkan jari
yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar
menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak
makan, kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja
bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar
hangus. Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini
tidak akan sama dengan kepanasannya.
Selepas habis bara api, kakak minta minuman, tapi kakak dihidangkan pula
dengan minuman yang dibuat daripada nanah. Baunya cukup busuk. Tapi
kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak
lalui, azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak
hidup di dunia ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.
“Masa diazab itu, kakak merayu mohon kepada Allah supaya berilah kakak
nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak
berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa
kakak tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan
ingkar perintah Allah, akan jadi umat yg soleh. Kakak berjanji kalau
kakak dihidupkan semula, kakak akan tampung segala kekurangan dan
kesilapan kakak dahulu, kakak akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa
yang selama ini kakak tinggalkan.”
Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha
Agung dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada
balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita
terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak.
Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.
“Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam
tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan
kakak dahulu. Kakak bertaubat, kakak taubat nasuha,” katanya sambil
menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke
Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak
henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu
maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang
subuh.
“Kakak, yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa? Kakak kena jaga
juga kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah,
makan nasi ke, berehat ke.” tegur saya.
“Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa kakak lapar.”
Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia
mengqada’kan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu. Selain itu
dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan
melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan
yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan
supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
“Tak boleh Mazlan. Kakak takut, kakak dah merasai pedihnya azab Tuhan.
Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu,
Mazlan juga akan jadi macam kakak. Kakak betul-betul bertaubat.”
Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya ;
“Mazlan, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan
ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang saja
yang merasai seksaan itu, kakak tak mau wanita lain pula jadi macam
kakak. Semasa diazab, kakak tengok undang-undang yang Allah beri ialah
setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada
orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau
10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna
kakak mendapat 10 dosa.”
“Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau
seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak
dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu
sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni? Allah…”
“Kakak berazam, balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari
ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat.
Kakak nak ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu
Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa
dia masuk Islam, tapi kakak tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula
yang jadi seperti orang bukan Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang
wanita tersebut. Walaubagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi
wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia berbohong kepada saya
tentang ceritanya diazab semasa koma?
Tidak.
Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang
digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis.
Adakah ia bercanggah?
Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya
secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan neraka
itu perkara ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita
sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa…
“Oh… memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal…”
Itu semua sudah terlambat..