Gambar hiasan, Sumber: Noorizam Sabran
Hari ini dapat pula berkenalan dengan Pakcik Sayuti. Beliau seorang
diri menolak motorsikal di PLUS menghala ke Sungai Besi, saya pula dari
Nilai dan menuju ke Bandar Seri Putra untuk singgah sebentar ke Studio.
Saya berhentikan motorsikal dan tanya pada Pakcik apa masalahnya, oh
katanya minyak habis. Puas juga menahan motorsikal lain kalau mereka ada
tiub kecil untuk kami sedut dan ‘transfer’ minyak ke motor Pakcik ini.
Tetapi hampa, semua tak ada, ada juga yang tak berhenti pun, tak apalah
mereka pun nak cepat menyambut malam jumaat agaknya.
Saya minta Pakcik Sayuti tunggu di situ dan berehat sementara saya
pecut ke Bandar Seri Putra membeli minyak dan pusing kembali ke arahnya.
Saya maklumkan saya akan lambat sedikit kerana perlu pusing di dua buah
plaza toll, beliau angguk faham. Saya terus pecut ke Baking Temptation
untuk membeli balang kuih, itu sahaja yang dapat saya fikir untuk
mengisi minyak bagi motor ex5 pakcik Sayuti.
Usai sahaja mengisi minyak, saya memecut kembali ke Pakcik. Beliau
girang bukan kepalang, menepuk-nepuk bahu saya berkali-kali mengucap
terima kasih.
“Nah ambik nih” Beliau menghulur nota RM5.
“Eh tak apa, pakcik simpanlah, bagi cucu aiskrim.”
“Aku anak pun tak ada.” Beliau senyum sendiri dan menyimpan kembali
duit tersebut. Saya terdiam dan rasa bersalah sangat, berkali-kali saya
menyebut, maaf pakcik, maaf.
“Kau nak cepat? Kalau tak, tunggu pakcik berbuka sekejap, ini ada
roti dan air.” Beliau membuka bungkusan perlahan-lahan.
“Laaa! Pakcik Puasa! Ok ok saya temankan.”
Kami duduk sekejap di bahu jalan dan menjamah
roti apabila pakcik sudah yakin masuk waktu maghrib. “Kau sudah
kahwin?”
“Sudah pakcik.”
“
Anak berapa?”
“Alhamdulillah, baru seorang.” Saya jawab perlahan-lahan. Risau hatinya terusik lagi.
“Berapa tahun dah kahwin?”
“Baru masuk 9 tahun, Alhamdulillah.”
“Alhamdulillah, aku sudah 40 tahun lebih, tak ada anak, Alhamdulillah..”
“Pakcik bersyukur?”
“Ha, aku syukur. Hal rezeki kan Allah punya kerja. Kena syukur. Kalau
sekarang ini Allah beri aku anak, tak tahulah aku nak jaga macamana.
Tak reti dah! Dah tak kuat. Jadi aku bersyukur sangat-sangat. Nak jaga
anak
zaman sekarang bukan senang!” Beliau menyambung. Saya semakin kagum dan
terkebil-kebil tak tahu nak jawab apa lagi untuk menyambung perbualan.
“Orang ada anak ke tak ada anak ke jangan cuba-cuba nak persoalkan.
Itu semua rezeki Tuhan, ada beza orang tak nak anak dengan orang tak ada
anak.” Beliau terus menyambung perbahasan. Saya diam sahaja sambil
bersungguh mengunyah roti macam orang berbuka puasa juga.
“Jaga anak kau baik-baik, itu amanah. Aku tak merasa pikul amanah tu,
kau kena syukur. Tapi jangan pula kau pandang tak elok orang tak ada
anak, kami tak ada
anak, tapi kami manusia juga. Ada hati juga, ada perasaan juga.”
“Betul pakcik.. saya minta maaf sekali lagi. Saya tak ada niat pun.” Saya luahkan kekesalan. Memang menyesal ya amat sebenarnya.
“Takpelah. Kalau kau tak tolong aku hari ini, tah siapa-siapa pula
kan. Bersyukur tak jumpa aku? Ke menyesal? Ha ha ha,” beliau mula
ketawa, tetapi sudah nampak ada genang-genang air mata.
“Kita jumpa lagilah, aku nak balik Kampung Baru, tadi pergi ziarah
anak saudara kemalangan di Labu. Makcik kamu paham benar dah, takut aku
balik lambat, tulah dia sedia roti dengan air, kalau tidak dah lah
minyak habis, lapar pulak! Ha ha ha. Itulah, aku bersyukur dapat makcik
kamu. Tak tahulah siapa pergi dulu nanti, aku doakan biarlah mati
sama-sama, tak ada anak, nanti sunyi! Ha ha ha.” Beliau ketawa tetapi
mengesat-ngesat mata.
Saya sudah tak boleh tahan, saya menghulurkan tangan untuk bersalam
tetapi Pakcik Sayuti menyambut dengan memeluk erat. Dan seperti biasa
saya menangis tak tentu pasal di bahu jalan yang mula penuh dengan
kereta berpusu-pusu.
Beliau terus memeluk saya dan menangis juga. Kami memujuk dengan
menepuk bahu sesama sendiri. Bersalam dan menyambung menangis di atas
motor. Kami berlalu dalam senja maghrib pulang ke
rumah masing-masing.
Sungguh, tak pernah saya jumpa orang yang betul berterima kasih pada
Tuhan kerana diberi ujian. Empat puluh tahun hidup suami isteri dengan
penuh kasih sayang tanpa ada anugerah bonus yang dinanti-nanti pasangan
yang berkahwin. Allahu akhbar. Memang pakcik hebat.
Saya hanya merasa perasaan ini enam tahun. Selepas itu muncul Nurul
‘Ain dalam hidup kami. Alhamdulillah. Beliau pula merasa sepanjang
hidupnya.
Buat Pakcik Sayuti dan makcik, semoga penuh anak-anak yang berlari menyambutmu di syurga nanti. Amin.