DI
MANA-MANA negara sekalipun, antara gejala negatif yang terkait dengan
dunia Internet adalah kegemaran melayari laman lucah dalam kalangan
rakyat.
Tidak terkecuali di negara ini, ramai hampa apabila cubaan untuk
masuk ke laman lucah popular Redtube telah disekat oleh Suruhanjaya
Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) sejak 19 Disember lalu.
Walaupun tanpa bermaksud mempertikaikan kewajaran menghalang akses ke
laman web porno yang sah-sah memang patut dibuat, terbit persoalan
sejak bila pula SKMM dah mula
block dan tapis Internet di negara ini?
Sebagaimana kita maklum, sesetengah negara seperti Iran dan China
mengamalkan tapisan ke atas Internet hingga menghalang akses ke web
tertentu dan laman sosial terutama Facebook.
Namun Malaysia boleh dikira agak longgar dari segi ini apabila sejak
zaman Tun Mahathir lagi, rakyat sudah dijanjikan tiada tapisan Internet
akan dibuat kerajaan.
Pada September 2008, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi mengulangi janji sama bahawa kerajaan akan tetap dengan dasar
tidak mengenakan sekatan dan penapisan ke atas kandungan Internet dan
hanya akan mengambil tindakan sekiranya terdapat penyalahgunaan Internet
atau perbuatan yang menyalahi undang-undang negara.
”Kita tidak akan sekat Intenet tetapi sekiranya ada yang salah guna
dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, kita akan
mengambil tindakan,” kata Pak Lah waktu itu.
Dasar tiada tapisan Internet juga diteruskan pada zaman Najib
sekarang meskipun Datuk Seri Rais Yatim pada 2009 pernah menimbulkan
‘gempak’ seketika apabila memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan
tapisan Internet di Malaysia.
Bagaimanapun ramai yang menarik nafas lega apabila Najib kemudiannya
mengumumkan, “Kerajaan tiada sebarang rancangan untuk menapis
internet kerana ianya kurang efektif, disamping akan mengakibatkan
rakyat di era dunia ICT ini tidak berpuas hati”.
Justeru apabila SKMM mengeluarkan satu pekeliling rasmi pada Jun 2011
bagi mengumumkan sekatan ke atas 10 hos fail terkemuka, ia menimbulkan
polemik terutama di kalangan kaki
download.

Tindakan diambil kerana laman-laman tersebut didapati melanggar Akta Hak Cipta 1987.
Sejak itu, terdapat banyak lagi laman web yang telah disekat kerana
didapati menyalahi pelbagai kesalahan termasuk melanggar Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain.
Sehingga penghujung 2013 sahaja, hampir 3,000 laman web telah diambil tindakan demikian oleh SKMM.
Selain melanggar akta hakcipta, kesalahan lain dilakukan laman web
hingga ia disekat daripada diakses adalah melanggar Enakmen Jenayah
Syariah, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan.
Selain itu, laman web yang menerima nasib sebegitu disebabkan oleh
siasatan yang dijalankan selepas menerima aduan daripada PDRM bagi kes
tertentu seperti akaun palsu atau penyamaran, penyalahgunaan maklumat
data peribadi, penyebaran ajaran sesat dan
‘love scam’, laman web bank palsu
(phishing) dan lucah.
Bagaimanapun, kerancakan sekatan ke atas laman web termasuk Redtube
baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya jika ini sebenarnya petanda
SKMM telah mula menjalankan tapisan ke atas Internet di Malaysia
sekaligus memungkiri janji-janji yang dibuat oleh kerajaan selama ini?
Sudah tentu, jawapan yang diterima daripada SKMM adalah tidak,
melainkan laman-laman ini telah melanggar akta atau undang-undang
tertentu.
Bagi pengguna Internet di negara ini, besarlah harapan jika
janji-janji yang pernah dilafazkan oleh PM Malaysia dari zaman Tun
Mahathir sampailah ke pentadbiran Najib sekarang tidak dimungkiri.
Pun begitu pada masa sama, perkuatkan lagi akta yang ada bagi
mengekang jenayah siber termasuk penyebaran fitnah yang boleh merosakkan
keharmonian negara terutama menerusi laman sosial. -MYNEWSHUB.CC