Airmata kami turut jatuh setitis demi setitis tatkala membaca luahan
hati isteri Awie, Rozana Misbun buat anak-anaknya yang amat menyayat
hati.
Memang sukar bagi seorang ibu dipisahkan dari anak-anak apatah lagi jika
berbulan-bulan lamanya. Ikatan kasih yang sudah lama bertaut sejak dari
dalam kandungan tidak mudah untuk diputuskan begitu sahaja. Serius
susah.
Air yang dicincang takkan putus! Begitu jugalah perasaan dan hati seorang ibu yang rindukan anaknya.
Kerinduan tersebut telah diluahkan oleh Rozana Misbun, 36, terhadap
anak-anaknya yang kini di bawah jagaan Awie. Katanya, dia terlalu
rindukan mereka hingga wajah anak-anaknya itu terbawa-bawa dalam mimpi.
"Hampir lima bulan saya menderita kerana terlalu rindukan anak-anak.
Saya cuba hubungi mereka, tetapi nombor seperti tidak digunakan lagi.
Sehinggakan hampir setiap hari saya mimpi berjumpa dengan mereka," ujarnya.
Tambah Rozana, sejak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberi hak
jagaan sementara kepada Awie (22 Julai), dia tidak pernah berjumpa atau
berhubung dengan anak-anaknya. Rozana ditemui media di Mahkamah Tinggi
Syariah Kuala Lumpur semalam.
"Saya percaya satu hari nanti, mimpi tersebut benar-benar menjadi kenyataan kerana saya yakin berada di pihak yang benar.
"Sehingga
kini, saya hanya mampu berdoa kepada Allah dan berharap kebenaran akan
ditunjukkan jua. Harap-harap dapat berjumpa dengan mereka segera. Tetapi
sama ada mereka sayangkan saya lagi atau tidak, saya tidak mahu fikir.
Saya serahkan perkara itu kepada Allah," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah semalam mengarahkan Rozana
mengemukakan akuan bersumpah sebagai bukti berhubung dakwaannya
mengatakan perkahwinannya dengan Awie tidak didaftarkan di Jabatan Agama
Islam Pulau Pinang (JAIPP).
Dakwaan perkahwinan itu tidak pernah didaftarkan muncul selepas Rozana
meragui permohonan Awie yang turut melampirkan bersama surat nikah
mereka ketika mengemukakan permohonan hak jagaan anak (hadanah) secara
ex-parte kepada mahkamah sebelum ini.
Awie dan Rozana didakwa berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada
2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad
Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan
penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa
Antasha, 12 -
PORTAL MYARTIS.