Kuala Lumpur: “Daniel baru berusia lapan tahun tapi sudah pandai
menonton video muzik Barat dengan tarian seksi di YouTube, memuat turun
aplikasi lucah dan sebagainya.
“Saya tak tahu dari mana dia belajar,” kata Azri Kamal, 34, antara
ribuan ibu bapa di negara ini yang khuatir kebanjiran aplikasi lucah
dalam laman web boleh menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada bahan
lucah sejak kecil.
Ini berikutan majoriti ibu bapa berusia
lingkungan 20-an hingga 50-an memiliki telefon pintar yang memiliki
akses Internet, sekali gus memudahkan anak kecil mengakses bahan lucah
jika tiada pemantauan ibu bapa.
Selain itu, kebanyakan kanak-kanak di peringkat usia lima tahun
didedahkan kepala penggunaan gajet seperti telefon pintar dan tablet
oleh ibu bapa dengan tujuan membuatkan mereka ‘senyap’ selain mengelak
berkelakuan nakal.
Menurut Azri, anak sulungnya cekap
mengendalikan gajet seperti iPhone, iPad dan komputer kerana sejak kecil
lagi dibiasakan dengan barangan terbabit.
“Mungkin
disebabkan saya dan isteri terlalu memanjakannya dengan membeli gajet
sebagai ‘permainan’ untuknya, dia bersifat agresif dan ingin tahu
pelbagai perkara, termasuk yang negatif.
KANAK-kanak melayari laman lucah menerusi aplikasi dalam gajet mereka.
“Saya tak sangka dia boleh memuat naik aplikasi lucah seperti
koleksi gambar gadis berbikini dan menonton tarian mengghairahkan di
YouTube.
“Saya tak tahu di mana dia belajar benda ini. Saya
terkejut melihat gambar tidak senonoh disimpan di dalam iPad miliknya,”
katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.
Menurut Azri, tidak mungkin anaknya belajar mengenai perkara itu di
sekolah, lebih-lebih lagi dia baru memasuki tahun dua sebuah sekolah
rendah di ibu kota.
“Nak kata terpengaruh dengan rakan,
mustahil juga. Lagipun, semua di dalam kelasnya sama usia dengannya.
Takkan baru darjah dua sudah pandai melihat bahan lucah seperti ini?
“Peredaran zaman dan kecanggihan teknologi sekarang bukan lagi mainan
saya sebagai orang dewasa. Tidak sangka anak kecil berusia lapan tahun
lebih bijak dalam hal ini. Namun, perkara ini tidak boleh dibiarkan. Ia
akan merosakkan fikirannya.
“Syukur, saya dapat tahu mengenai
perkara itu dan kini saya dan isteri mengawal penggunaan gajet
terbabit. Saya tidak boleh salahkan anak yang tak tahu apa- apa. Kita
sebagai ibu bapa yang patut dipersalahkan,” katanya.
Menurut
Azri, ibu bapa perlu memainkan peranan penting mengawal tindak-tanduk
anak mereka lebih-lebih lagi berkenaan gajet dan Internet.
“Sekarang segala-galanya di hujung jari. Budak-budak akan lebih cepat
mempelajari perkara ini berbanding orang dewasa. Saranan saya kepada ibu
bapa, lebih baik bertindak awal sebelum keadaan menjadi lebih keruh.
“Ia sudah terjadi kepada keluarga saya dan saya menyesal kerana terlalu
memanjakan anak dengan pelbagai gajet. Walaupun dari satu sudut
kecanggihan teknologi ini ada baiknya, ia tetap perlu dikawal ibu bapa,”
katanya.
Pemantauan wartawan Metro Ahad mendapati aplikasi
mudah dimuat turun menerusi ‘gedung’ perisian aplikasi berselindung di
sebalik konsep jaringan sosial dan permainan, sedangkan ia sebenarnya
bertujuan mempromosi kegiatan lucah atau berkaitan seks.
Cerita Seks Melayu, Rahsia Seks, Cerita Panas Melayu, Suara Seks dan
Audio Sex Chat antara yang popular dalam kalangan pengguna telefon
pintar yang mendapat muat turun tinggi.
sumber